Kereta hilang kawalan, lelaki maut, dua rakan cedera

Keadaan kenderaan mangsa yang terjunam ke dalam longkang selepas terbabit kemalangan di Jalan Merintaman-Sindumin, Sipitang.
Keadaan kenderaan mangsa yang terjunam ke dalam longkang selepas terbabit kemalangan di Jalan Merintaman-Sindumin, Sipitang.
A
A
A

SIPITANG - Seorang lelaki maut manakala dua lagi rakannya cedera selepas kenderaan yang dinaiki terjunam ke dalam longkang di Jalan Merintaman-Sindumin, di sini, pada malam Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, mangsa Kedshon Kensius, 18, maut ketika menerima rawatan di hospital manakala dua rakannya berusia 25 dan 30 tahun dilaporkan cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Sipitang, Deputi Superintendan Champin Piuh berkata, kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Proton Wira yang dipercayai terbabas sendiri.

Katanya, pemandu bersama dua mangsa dalam perjalanan dari arah Sindumin menuju ke Pekan Sindumin.

"Siasatan awal mendapati kenderaan yang dinaiki mangsa hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan sebelum berpusing beberapa kali dan terjunam ke dalam longkang.

"Pemandu dan penumpang hadapan tercampak keluar mananakala penumpang belakang masih di dalam kenderaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Operasi mengeluarkan mangsa dilakukan oleh pasukan bomba.
Operasi mengeluarkan mangsa dilakukan oleh pasukan bomba.

Champin berkata, akibat kejadian itu penumpang belakang meninggal dunia manakala dua lagi hanya cedera ringan.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa disahkan meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di Hospital Sipitang.

"Punca kemalangan dipercayai terbabas sendiri bagaimanapun siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sipitang dikejar ke lokasi sebaik menerima panggilan berhubung kejadian itu.

"Sebaik tiba, kenderaan berada di dalam longkang dan terdapat mangsa yang terperangkap di dalam kereta berkenaan.

"Operasi mengeluarkan mangsa terperangkap kemudiannya dijalankan sebelum mangsa dibawa ke hospital," katanya.