X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 03 Julai 2022

Empat hari tiada air di Lembah Klang mulai esok

A
A

KUALA LUMPUR - Penduduk di 998 kawasan di sekitar Lembah Klang disarankan untuk membuat persiapan bagi menghadapi gangguan bekalan air selama empat hari mulai esok.

Gangguan bekalan air bermula 9 pagi itu menjejaskan wilayah Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) sebelum ini memberitahu gangguan bekalan air itu susulan kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset-aset kritikal yang akan menyebabkan henti tugas Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1).

“Pelaksanaan kerja-kerja ini bakal menyebabkan gangguan bekalan air bermula jam 9 pagi, 13 Oktober dan dijangka akan pulih sepenuhnya pada jam 9 malam, 16 Oktober.

“Pelaksanaan kerja-kerja ini telah tertangguh daripada jadual asal iaitu pada tahun 2019 dan 2020 berikutan insiden pencemaran air yang menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual berskala besar.

“Pelaksanaan kerja-kerja ini telah mendapat kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi menaik taraf sistem bekalan air demi keselesaan para pengguna pada masa hadapan,” katanya.

Mengulas lanjut, Air Selangor berkata, senarai kawasan yang akan mengalami gangguan bekalan air berjadual boleh didapati di laman pautan hentitugas.airselangor.com.

Justeru itu, Air Selangor ingin menasihatkan para pelanggan yang terjejas untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual ini.

Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air berjadual ini dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300.

“Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Help Centre di laman sesawang www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor,” ujarnya. - Awani


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!