R&R Temerloh kembali 'hidup'

Suasana di kedai kios makanan dan minuman di R&R Temerloh pada hari pertama pergerakan rentas negeri pada Isnin
Suasana di kedai kios makanan dan minuman di R&R Temerloh pada hari pertama pergerakan rentas negeri pada Isnin
A
A
A

TEMERLOH - Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Temerloh yang suram sekian lama kini kembali 'hidup' selepas menjadi tumpuan pengguna Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 berhenti berehat dan menjamu selera pada hari pertama rentas negeri dibenarkan pada Isnin.

Seorang pekerja pembersihan, Nor Anisa Salehuddin, 43 memberitahu, sejak pagi, hentian itu dikunjungi orang ramai dan menyifatkan suasana di situ kembali 'hidup' selepas suram berbanding beberapa bulan sebelum ini.

"Ikutkan sejak Jumaat lalu selepas Pahang beralih ke Fasa Empat (Pelan Pemulihan Negara), memang suasana di sini sedikit meriah," katanya telah bertugas di hentian itu lebih dua tahun.

Seorang pekerja kedai makan, Ubaidah Nazri, 28, memberitahu suasana dijangka bertambah meriah dan sesak pada hujung minggu ini.

"Bermula Jumaat ini, suasana dijangka lebih meriah berbanding hari ini (Isnin)," tambahnya lagi.

Pergerakan kenderaan kelihatan tenang di Plaza Tol Temerloh pada Isnin.
Pergerakan kenderaan kelihatan tenang di Plaza Tol Temerloh pada Isnin.

Dalam pada itu, dua beradik, Batrisya Huda Sulaiman, 24, dan adiknya, Iffah,22, tidak melepaskan peluang merentas negeri.

Artikel Berkaitan:

Mereka yang tinggal di Kuala Lumpur pulang ke Kuantan dan memulakan perjalanan pada Isnin selepas mengetahui pergerakan rentas negeri dibenarkan.

"Terus buat persediaan untuk hari ini (Isnin) dan memang seronok kerana lebih setahun tidak dapat pulang ke Kuantan.

"Antara yang dilakukan apabila singgah di hentian ini tidak melepaskan peluang menjamu ikan patin masak tempoyak, lepaskan gian," ujar mereka.

Sementara itu seorang pemandu lori, R Sega, 62, memberitahu, perjalanan dari Kuala Lumpur berjalan lancar dan tidak sesak pada hari pertama pergerakan rentas negeri.

Tinjauan Sinar Harian di Plaza Tol Temerloh pada jam 12 tengah hari juga mendapati pergerakan kenderaan kelihatan tenang dan terkawal pada hari pertama rentas negeri dibenarkan.