Polis tembak tayar kereta pengedar dadah

Suspek berjaya ditahan polis di Manggatal, Kota Kinabalu pada Isnin.
Suspek berjaya ditahan polis di Manggatal, Kota Kinabalu pada Isnin.
A
A
A

KOTA KINABALU - Polis terpaksa melepaskan dua tembakan ke arah tayar sebuah kenderaan bagi mengelak tindakan agresif seorang pengedar dadah dalam kejadian di Manggatal di sini pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, lelaki warga asing berusia 20-an yang bertindak cuba melarikan diri dengan kenderaan jenis Perodua Myvi akhirnya berjaya ditahan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abd Rakman berkata, tangkapan itu dibuat ketika 'Ops Tapis' dijalankan selepas disyaki terdapat kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah di kawasan berkenaan.

Katanya, ketika cuba ditahan untuk pemeriksaan, suspek enggan memberi kerjasama dan bertindak agresif dengan merempuh kenderaan pasukan beberapa kali.

"Suspek turut cuba melanggar anggota polis dengan cara merempuh dari bahagian hadapan kenderaan, namun sempat dielak pasukan operasi.

Syabu yang berjaya dirampas daripada suspek yang bertindak agresif sebelum berjaya ditahan di Manggatal, Kota Kinabalu pada Isnin.
Syabu yang berjaya dirampas daripada suspek yang bertindak agresif sebelum berjaya ditahan di Manggatal, Kota Kinabalu pada Isnin.

"Polis terpaksa melepaskan dua das tembakan ke tayar hadapan kiri dan kanan bagi mempertahankan diri," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

George berkata, suspek sebelum itu sempat melarikan diri, bagaimanapun kenderaannya hanya mampu bergerak sejauh 120 meter daripada tempat kejadian sebelum akhirnya berjaya ditahan polis.

Artikel Berkaitan:

"Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan dua paket plastik lut sinar setiap satu berisi ketulan hablur kristal disyaki dadah jenis syabu.

"Anggaran berat kasar keseluruhan rampasan dadah ialah sebanyak 100 gram dan suspek terus dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.