Operator pengangkutan awam perlu semak sijil vaksinasi penumpang

Sijil vaksinasi. - Foto fail Bernama
Sijil vaksinasi. - Foto fail Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Operator pengangkutan awam bagi semua sektor darat, udara dan maritim perlu memastikan setiap penumpang atau pengguna perkhidmatan pengangkutan awam menunjukkan sijil vaksinasi mereka.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, langkah tersebut adalah bagi membuktikan penumpang dan pengguna perkhidmatan telah lengkap divaksinasi sebagaimana yang ditetapkan dalam prosedur operasi standard (SOP) rentas negeri.

"Kesemua sektor darat, udara dan maritim seperti pengusaha bas ekspres, rel, teksi, e-hailing, syarikat penerbangan, pengusaha feri dan kapal agar tidak leka serta sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Selain itu pematuhan terhadap SOP lain seperti memakai pelitup separuh muka dan kerap mencuci tangan atau menggunakan cecair pembasmi kuman juga perlu dipatuhi tanpa kompromi," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, pengguna pengangkutan awam juga digalakkan membuat ujian saringan Covid-19 kendiri sebelum memulakan perjalanan rentas negeri bagi melindungi diri sendiri, keluarga

dan orang disekeliling.

Pada Ahad, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kebenaran rentas negeri mulai 11 Oktober.

Turut diumumkan kebenaran ke luar negara bagi individu yang telah lengkap dos suntikan vaksinasi.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut Ka Siong berkata, pengumuman tersebut membuktikan kerajaan amat memahami perasaan rakyat yang sejak sekian lama tidak dapat pulang ke kampung halaman akibat Covid-19.

"Keluarga Malaysia yang ingin ke luar negara juga kini tidak lagi perlu memohon My Travel Pass sebagaimana yang diperlukan sebelum ini.

"Bagaimanapun pengembara yang baru pulang ke tanah air masih perlu menjalani kuarantin wajib sebagai usaha mengekang penularan wabak Covid-19," katanya.