Gerakan tolak PRN Melaka, nyawa rakyat lebih penting

Dominic Lau
Dominic Lau
A
A
A

MELAKA - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menolak pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kerana nyawa dan keselamatan rakyat lebih penting, kata Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.

"Secara dasarnya, Gerakan menolak PRN Melaka kerana apa yang lebih penting ialah nyawa dan keselamatan rakyat. Kita bimbang wabak Covid-19 tidak boleh dikawal sekiranya berlaku jangkitan ekoran pelaksanaan PRN Melaka.

"Namun pelaksanaan PRN Melaka bukan satu perkara luar biasa kerana semua jentera Gerakan di seluruh negara telah bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 sekali gus bersedia mengambil bahagian pada PRN Melaka," katanya pada sidang akhbar di sini pada Ahad.

Beliau berkata, Gerakan akan bertanding di bawah bendera Perikatan Nasional (PN) seperti yang diputuskan dalam Majlis Tertinggi PN, jika diberikan peluang.

Pada 4 Oktober lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka penggal ke-14 daripada Speaker Datuk Seri Ab Rauf Yusoh setelah kerajaan negeri pimpinan UMNO hilang majoriti dalam DUN.

Berdasarkan Fasal (4) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka, pilihan raya hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN itu. -Bernama

Artikel Berkaitan: