Boleh rentas negeri mulai esok

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kerajaan bersetuju memberi kebenaran untuk rakyat Malaysia yang telah menerima vaksinasi lengkap untuk melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu memohon kebenaran daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula Isnin, 11 Oktober 2021.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dengan keputusan itu, rakyat Malaysia bebas melakukan pergerakan seperti balik kampung untuk berjumpa ibu bapa yang telah lama berpisah, melancong dan sebagainya.

Beliau dalam masa sama turut mengingatkan rakyat Malaysia agar tidak bersikap sambil lewa terhadap kelonggaran yang diberikan.

“Ini penting dalam usaha membantu negara dalam pembukaan semula ekonomi serta persediaan menjalani kehidupan fasa endemik dengan selamat atau #ReopeningSafely.

“Jika hal ini diambil mudah, tidak mustahil penularan wabak Covid-19 akan kembali meningkat. Anda kini adalah barisan hadapan yang akan melindungi keluarga dan komuniti daripada jangkitan virus ini,” katanya ketika sidang akhbar khas pada Ahad.

Sementara itu, Ismail Sabri turut menyarankan rakyat Malaysia untuk melakukan ujian kendiri Covid-19 terlebih dahulu sebelum memulakan perjalanan.

“Sebagai contoh, sekiranya ingin pulang ke kampung untuk berjumpa dengan ibu bapa atau merentas negeri, rakyat Malaysia disaran untuk melakukan ujian Covid-19 kendiri sebelum memulakan perjalanan.

“Bagi mereka yang bergejala seperti demam, batuk, selesema dan sesak nafas, saya nasihatkan anda tangguhkanlah dahulu perjalanan.

Artikel Berkaitan:

“Sekiranya anda didapati positif, kuarantin diri atau hubungi Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) yang berhampiran untuk mendapatkan rawatan segera,” ujarnya.

Beliau menambah, kebenaran tersebut bukan bermakna pihak berkuasa akan bersikap lepas tangan dan walaupun tiada lagi sekatan jalan raya (SJR) untuk mengawal pergerakan rentas negeri, tetapi SJR untuk jenayah serta keselamatan masih diteruskan.

“Pemeriksaan secara rawak akan tetap dilaksanakan oleh pihak berkuasa di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Saya juga ingin menegaskan kebenaran pergerakan rentas negeri ini tidak terpakai ke atas kawasan atau lokaliti yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” jelas Ismail Sabri.