Malaysia akan peroleh ubat antiviral dari pelbagai jenama

Khairy Jamaludin. - Foto fail Bernama
Khairy Jamaludin. - Foto fail Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Malaysia tidak akan bergantung kepada satu syarikat sahaja untuk memperoleh bekalan ubat antiviral bagi merawat pesakit Covid-19.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pihaknya sedia maklum mengenai industri farmaseutikal di India, yang turut dilaporkan bertungkus lumus menghasilkan ubat-ubatan antiviral.

"Sebagaimana perolehan vaksin Covid-19 daripada pelbagai jenama syarikat pengeluar, ubat antiviral juga kita akan peroleh daripada pelbagai jenis syarikat lain.

"Perolehan ubat antiviral kita bukan hanya daripada syarikat perubatan Merck sahaja, sebaliknya kita akan melihat semua farmaseutikal dari negara lain, termasuk India.

"Mungkin kita akan beli ubat antiviral lebih daripada satu jenama, tengok sejauh mana keberkesanan dan keselamatannya," kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai usaha farmaseutikal di India, yang turut dilaporkan menghasilkan ubat antiviral.

Pada Khamis, KKM telah menandatangani surat akujanji (Letter of Undertaking) pembelian ubat antiviral Molnupiravir dengan syarikat Merck Sharp & Dohme.

Khairy berkata, melalui perjanjian itu, kerajaan bersetuju untuk membuat perolehan sebanyak 150,000 pakej rawatan lengkap untuk merawat pesakit Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Khairy turut memberitahu, pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 di Sarawak akan bermula pada minggu depan.

Katanya, pemberian dos penggalak ini tidak melibatkan semua orang, hanya mereka yang layak sahaja akan menerimanya.

"Kita sudah meluluskan pemberian dos penggalak kepada mereka yang layak, dan sekarang kita melihat kepada penghantaran bekalan di Sarawak.

"Saya sudah pun memberi 'green light', jadi kita jangkakan Sarawak akan mula (beri dos penggalak) pada minggu depan," katanya.

Sarawak akan memulakan pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 bermula Oktober ini, sekali gus menjadi negeri pertama yang memulakan inisiatif berkenaan.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menyediakan garis panduan klinikal mengenai pelaksanaan pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 itu, dan ia akan memberi fokus kepada golongan berisiko tinggi berusia 60 tahun ke atas, serta mereka yang mempunyai komorbid serius.