Tauke syarikat alat ganti, empat pekerja didakwa tipu guna slip IBG

Seorang pemilik syarikat alat ganti kenderaan dan empat pekerjanya dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat untuk pertuduhan menipu syarikat pembekal alat ganti menggunakan Inter Bank Giro (IBG) berjumlah RM630,200 sejak Mac lalu.
Seorang pemilik syarikat alat ganti kenderaan dan empat pekerjanya dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat untuk pertuduhan menipu syarikat pembekal alat ganti menggunakan Inter Bank Giro (IBG) berjumlah RM630,200 sejak Mac lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Seorang pemilik syarikat alat ganti kenderaan dan empat pekerjanya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas pertuduhan menipu syarikat pembekal alat ganti menggunakan resit pembayaran berjadual antara bank atau ‘Inter Bank Giro’ (IBG) berjumlah RM630,200.

Ng Chong Chai, 60, selaku pemilik Syarikat Ban Heng Auto Part bersama Lai Wei Kiat, 23, Lee Juan Sheng, 24, Leong Yue Long, 25, dan Tan Wai Teck, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa bersama-sama menipu Syarikat Vanli Auto Spares Sdn Bhd dengan menyerahkan resit pembayaran berjadual IBG.

Ia bagi mempercayai bahawa pembayaran dibuat sehingga mendorong syarikat itu menyerahkan barangan alat ganti kenderaan kepada Syarikat Ban Heng Auto Part berjumlah RM630,200 secara berperingkat.

Syarikat pembekal itu tidak akan berbuat demikian sekiranya tidak diperdayakan sedemikian di Batu 3, Jalan Ipoh pada 8 Mac hingga 12 Ogos lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibacakan bersama Sekyen 34 akta sama yang membawa hukuman penjara setahun hingga 10 tahun dan dengan sebat serta boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Zulaaikha Mohd Apandi mencadangkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM200,000.

Bagaimanapun, peguam, Muhammad Amin Abdullah yang mewakili Chong Chai, Wei Kiat, Juan Sheng dan Tan Wai Teck manakala Johan Radzi bagi pihak Yue Long, memohon agar anak guam mereka diberi ikat jamin pada kadar rendah dengan alasan mempunyai masalah kesihatan, tidak berkemampuan dan perlu menyara keluarga.

Artikel Berkaitan:

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Kamarudin membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin.

Mereka juga dikehendaki memenuhi syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis setiap bulan.

Mahkamah turut menetapkan 2 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Pada 28 September lalu, media melaporkan, polis memberkas sindiket menipu pembekal dan peniaga alat ganti kenderaan menggunakan slip pembayaran perbankan berjadual atau IBG.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din, pihaknya menerima satu laporan polis daripada seorang lelaki yang mendakwa telah ditipu dalam urusan jual beli barangan alat ganti kenderaan.