Gangguan telekomunikasi akibat menara komunikasi terbakar

Gangguan perkhidmatan komunikasi dan internet dijangka berlaku untuk tempoh beberapa hari di beberapa kawasan terlibat, ekoran satu insiden kebakaran sebuah menara komunikasi di Taman Terendak Permai pada Rabu. - Gambar hiasan
Gangguan perkhidmatan komunikasi dan internet dijangka berlaku untuk tempoh beberapa hari di beberapa kawasan terlibat, ekoran satu insiden kebakaran sebuah menara komunikasi di Taman Terendak Permai pada Rabu. - Gambar hiasan
A
A
A

MELAKA - Gangguan perkhidmatan komunikasi dan internet dijangka berlaku untuk tempoh beberapa hari di beberapa kawasan terlibat, ekoran satu insiden kebakaran sebuah menara komunikasi di Taman Terendak Permai pada Rabu.

Jabatan Komunikasi Korporat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataan menyatakan, kejadian yang berlaku sekitar jam 1 tengah hari itu melibatkan menara komunikasi milik Melaka ICT Holdings Sdn Bhd yang dikendalikan syarikat U-Mobile dan YTL.

“Antara kawasan terjejas ialah Taman Terendak Permai, Taman Sri Terendak, Taman Bukit Terendak, Taman Pahlawan, Kampung Sungai Udang, Pekan Sungai Udang, Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Taman Desa Tun Razak dan Taman Peruna.

“Punca kebakaran di menara komunikasi berkenaan bagaimanapun masih belum diketahui dan sedang dalam siasatan,” menurut agensi berkenaan dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Sehubungan itu, SKMM telah mengarahkan semua penyedia perkhidmatan terlibat untuk melaksanakan kerja baik pulih pada kadar segera.

Sebagai langkah sementara, penyedia perkhidmatan terlibat akan melakukan pengoptimuman di menara-menara komunikasi berhampiran bagi meminimumkan kesan gangguan.

Rangkaian komunikasi yang terjejas dijangka akan pulih sepenuhnya selewat-lewatnya pada Selasa minggu hadapan. - Bernama

Artikel Berkaitan: