Anggota tentera cabul pekerja kedai vape ditahan

Suspek yang disyaki mencabul kehormatan seorang wanita di kedai vape di Taman Keramat telah ditahan.
Suspek yang disyaki mencabul kehormatan seorang wanita di kedai vape di Taman Keramat telah ditahan.
A
A
A

AMPANG - Seorang anggota tentera ditahan kerana disyaki mencabul kehormatan seorang wanita di sebuah kedai vape di Taman Keramat di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, lelaki berusia 26 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Taman Setiawangsa Kuala Lumpur pada jam 12.30 tengah malam Khamis.

Menurutnya, suspek bertugas di Cawangan Tentera Darat, Kem Batu Kentonmen, Kuala Lumpur dan telah berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia selama tujuh tahun.

"Suspek direman selama empat hari bermula Khamis hingga Ahad bagi membantu siasatan.

"Ujian saringan air kencing adalah negatif dan kita turut merampas kelengkapan uniform yang dipercayai dipakai semasa kejadian," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari Selasa, mangsa berusia 18 tahun yang juga pekerja kedai vape terbabit pada mulanya didatangi seorang lelaki berpakaian tentera mahu membeli barangan vape di kedai itu.

Mohamad Farouk dalam kenyataan pada Rabu berkata, selepas selesai membeli barangan vape, lelaki itu keluar dari kedai, namun tidak lama kemudian dia masuk semula ke kedai berkenaan.

Menurutnya, suspek memberitahu mangsa pod vape dibelinya tidak berfungsi. Mangsa kemudian memeriksa pod vape berkenaan dan menggantikannya dengan yang baharu.

Artikel Berkaitan:

Ketika mangsa menyerahkan pod vape berkenaan, beliau berkata, suspek mengambil kesempatan memegang tangan mangsa dan kemudian turut menjilat jari mangsa

Mohamad Farouk berkata, mangsa cuba mengawal keadaan itu dan memberitahu suspek terdapat kamera litar tertutup (CCTV) dalam kedai menyebabkan suspek melepaskan tangan mangsa dan terus beredar dari tempat kejadian.

Katanya, mangsa telah tampil membuat laporan polis di Balai Polis Hulu Klang pada Rabu.