PRN Melaka: Perlu rujuk pakar terlebih dahulu

Hishammuddin- Foto fail Bernama
Hishammuddin- Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketetapan mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hanya akan diputuskan selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, mereka merupakan pakar yang akan membuat kajian dan turut menjadikan PRN Sabah tahun lepas sebagai rujukan.

“...kita pernah lalui situasi sama (PRN) di Sabah dan melihat kesannya, banyak pertimbangan perlu kita fikirkan dalam memutuskan apa yang patut kita lakukan dalam meniti perkembangan di negeri Melaka.

"Kita tidak mahu politik dan pertimbangan sementara atau semasa menjejaskan agenda nasional yang lebih besar iaitu memastikan rakyat selamat daripada pandemik Covid-19 ini, jadi kajian itu juga mesti mengambil kira apa yang kita terpaksa lalui dan hadapi daripada PRN Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) kepada Kementerian Pertahanan (Mindef) sempena Program Bakul Mindef Prihatin di Kem Kementah di sini pada Rabu.

Pada Selasa, SPR menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka penggal ke-14, sekali gus menyaksikan satu PRN perlu diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pembubaran itu.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, kerajaan tidak akan terburu-buru dalam membuat keputusan mengenai pergerakan rentas negeri dan lebih mengutamakan konsep 'reopening safely'.

Beliau berkata, setakat ini 88.74 peratus individu telah lengkap vaksinasi dan beberapa hari lagi negara akan mencapai 90 peratus vaksinasi, dengan keputusan rentas negeri akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan cukup bertanggungjawab, berhati-hati dan tidak perlu gusar... ini untuk keselamatan rakyat dan memastikan kelonggaran yang dibuat bersandarkan data dan saintifik yang KKM rasa selesa,” katanya.

Hadir sama dalam majlis itu, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Affendi Buang. - Bernama