RM488 juta diperuntuk bantu 67,000 pesakit memerlukan

Sejumlah RM488.5 juta daripada Tabung Bantuan Perubatan (TBP) telah dibelanjakan sejak 2005 bagi membantu keperluan rawatan pesakit yang tidak berkemampuan.Gambar hiasan
Sejumlah RM488.5 juta daripada Tabung Bantuan Perubatan (TBP) telah dibelanjakan sejak 2005 bagi membantu keperluan rawatan pesakit yang tidak berkemampuan.Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR – Sejumlah RM488.5 juta daripada Tabung Bantuan Perubatan (TBP) telah dibelanjakan sejak 2005 bagi membantu keperluan rawatan pesakit yang tidak berkemampuan.

Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, jumlah perbelanjaan tersebut telah memberi manfaat kepada 67,000 pesakit.

Menurutnya, kesemua yang dibantu melalui TBP telah melalui penilaian kelayakan terlebih dahulu menjadikan bantuan tersebut adalah bersasar.

“Yang dibantu bukan sebarangan orang, ada jabatan sosial yang akan menilai pendapatan dan harta mereka. Bermakna kita beri bantuan bersasar.

“Bagi tahun 2021, sebanyak RM31.5 juta telah diperuntukkan untuk bantuan (tabung) ini,” katanya ketika Penggulungan Perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat pada Rabu.

Sebelum itu, Charles Anthony Santiago (PH-Klang) bangkit mencelah bertanya mengenai cadangannya kepada kerajaan agar satu dana khas bagi membantu rakyat miskin yang menghidap penyakit kanser.

Mengulas lanjut, Dr Noor Azmi menjelaskan, meskipun tiada dana khas untuk pesakit kanser, kerajaan tidak pernah mengabaikan soal kebajikan pesakit yang memerlukan.

“Dari dulu lagi umpamanya, kita ada Skim Peduli Kesihatan Untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) dalamnya ada slot untuk membantu menyelesaikan masalah pesakit kanser, membantu daripada aspek kelengkapan alat, ubat yang diperlukan dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

“Dalam insentif melengkapkan rawatan kanser, sebanyak RM2.3 juta telah diperuntukkan untuk membantu mereka ini,” katanya.