Lelaki tipu duit bakal mentua dipenjara, sebat

Tertuduh dikawal polis untuk didakwa atas pertuduhan menipu bakal mentua. FOTO: SINAR HARIAN
Tertuduh dikawal polis untuk didakwa atas pertuduhan menipu bakal mentua. FOTO: SINAR HARIAN
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan enam sebatan di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu kerana memperdaya seorang imam yang juga bakal bapa mentuanya.

Tertuduh, Shah Jahan Sazali, 36, mengaku bersalah selepas enam pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohd Izdham Naim Che Ani.

Berdasarkan pertuduhan pertama sehingga keenam tertuduh didakwa menipu Mad Rozali Botok, 65, dengan memperdayakan mangsa untuk mempercayai tertuduh menjalankan perniagaan emas yang sebenarnya tidak wujud sehingga menyebabkan mangsa menyerahkan wang tunai berjumlah RM24,200.

Kesalahan dilakukan di Pangsapuri Bandar Baru Kubang Kerian di sini, antara 9 Ogos sehingga 12 September lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun sehingga 10 tahun dan dengan sebatan serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Yusnaliza Mohammad Yusoff memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh kerana kesalahan serius yang dilakukan.

Bagaimanapun, peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Intan Nor Nadhirah Ismail yang mewakili tertuduh merayu hukuman diringankan atas alasan tertuduh mengaku bersalah dan sudah insaf.

Mohd Izdham kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan serta mengarahkan hukuman penjara berkuatkuasa secara serentak bermula daripada tarikh jatuh hukum.

Artikel Berkaitan:

Pada prosiding berasingan, Shah Jahan mengaku bersalah terhadap tujuh lagi pertuduhan membabitkan kes penipuan terhadap mangsa yang sama dan seorang lagi mangsa lain di hadapan Majistret Muhammad Fitri Mokhtar.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keenam tertuduh didakwa memperdaya Mad Rozali hingga menyebabkan mangsa menyerahkan wang tunai sebanyak RM16,000 di lokasi sama antara 28 Jun hingga 5 September lalu.

Sementara itu, pada pertuduhan ketujuh, Shah Jahan didakwa memperdayakan pesara guru, Husin Md Ali, 74, hingga mangsa menyerahkan sebuah kereta jenis Proton Waja untuk dibaiki pada 22 Mac tahun lalu di Lundang, di sini.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara bermula enam bulan sehingga lima tahun dan dengan sebat dan boleh juga didenda, jika sabit kesalahan.

Tujuh kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Asmah Che Wan, manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Ariyani Mohd Amin.

Kes ditetapkan pada 28 November depan untuk jatuh hukum.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang imam berputih mata apabila didakwa tertipu oleh bakal menantu hingga mengalami kerugian lebih RM50,000.