UMNO akui berdepan kesukaran pertembungan tiga penjuru

Kamaruddin
Kamaruddin
A
A
A

MELAKA - UMNO Melaka mengakui bakal berdepan kesukaran sekiranya wujud pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.

Veteran UMNO, Datuk Bakar Shaukat Ali berkata, sekiranya perang tiga penjuru itu berlaku, kemungkinan parti itu akan mengalami nasib sama sebagaimana pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

Menurutnya, apa yang digambarkan parti itu akan kehilangan tiga atau empat kerusi berbanding sekiranya berdepan pertembungan dua penjuru, di mana UMNO mampu menang dengan skala besar membabitkan 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Kalau tiga penjuru memang sukar buat UMNO kecuali di kawasan-kawasan tertentu, lagipun kita tidak dapat nak baca fikiran orang muda terutama pengundi 18 tahun dan juga pengundi bukan Melayu.

"Kemungkinan besar akan berlaku seperti mana yang kita hadapi pada PRU lalu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Mengulas lanjut, Bakar Shaukat berharap kepimpinan UMNO dapat duduk berbincang bersama untuk melihat kepentingan serta memberikan fokus kepada keutamaan rakyat dan bukannya kepentingan individu.

Ujarnya, banyak faktor yang perlu diambil kira oleh UMNO termasuk mencadangkan calon baharu berusia 55 tahun ke bawah.

"Jangan ditonjolkan calon yang sudah tidak diterima rakyat, rakyat juga tidak mahu wakil rakyat yang telah lama menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Artikel Berkaitan:

"Berilah peluang kepada pemimpin baharu maksudnya bukan orang muda tetapi mereka yang di peringkat umur bawah 55 tahun," katanya.

Dalam pada itu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron berkata, UMNO tetap akan berdepan kesukaran untuk mendapat tempat yang selamat termasuk dalam perang tiga penjuru PRN.

Beliau mendakwa parti keramat orang Melayu itu boleh menang sekiranya mereka menipu.

"Sedangkan sekarang ini hanya 13 ADUN yang menyokong beliau (UMNO) lebih besar daripada 15 ADUN yang bersama Pakatan Harapan (PH), lihat di situ sahaja telah ada penipuan," dakwanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Negeri, Datuk Kamaruddin Sidek berpendapat parti itu tidak akan mengalami kesukaran sekiranya menyertai proses perundingan melibatkan UMNO, Bersatu dan Pas.

Menurutnya, rundingan 'meja bulat' penting bagi mengelakkan konflik tiga penjuru membabitkan parti Melayu pada PRN.

"Melalui keputusan rundingan tersebut parti yang terlibat akan lebih menghormati di antara satu sama lain. Jika UMNO ada 13 kerusi, Pas dan Bersatu jangan ambil kerusi itu dan kita pertahankan begitulah sebaliknya

"Sekiranya terjadi juga perkara itu, sekurang-kurangnya dengan rundingan dapat meminimumkan pertembungan tiga penjuru di mana-mana kerusi DUN," jelasnya.

Bagi Pengerusi Amanah Melaka, Adly Zahari menyifatkan pertembungan tiga penjuru sememangnya tidak dapat dielakkan dan dalam sejarah politik negara, pernah berlaku ada pertembungan sehingga 13 penjuru.

"Bagi saya kita harus terima demokrasi, namun paling penting kita perlu memberi fokus kepada kesihatan dan keselamatan rakyat," ujarnya.