APM bantu urus jenazah wanita 300kg

Anggota APM Daerah Ipoh membantu menguruskan jenazah seorang wanita seberat 300kg di Tanah Perkuburan Islam Tambun, di sini pada Rabu. Foto: APM DAERAH IPOH
Anggota APM Daerah Ipoh membantu menguruskan jenazah seorang wanita seberat 300kg di Tanah Perkuburan Islam Tambun, di sini pada Rabu. Foto: APM DAERAH IPOH
A
A
A

IPOH - Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Ipoh membantu menguruskan pengebumian jenazah seorang wanita seberat 300 kilogram (kg) di Tanah Perkuburan Islam Tambun, di sini pada Rabu.

Pegawai APM Daerah Ipoh, Kapten (PA) Muhammed Ameen Salleh Mura berkata, pihaknya menerima permohonan bantuan berkenaan daripada pihak Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) bagi menyempurnakan proses pengebumian wanita berusia 31 tahun itu.

Menurutnya, seramai lapan anggota dan seorang pegawai terlibat dalam membantu proses pengebumian jenazah terbabit kira-kira jam 11.30 pagi itu.

"Bantuan yang kita laksanakan ini memerlukan ramai anggota untuk disempurnakan pengebumiannya.

"Ini merupakan sebahagian bentuk bantuan khas yang kita laksanakan kepada masyarakat selain tugas hakiki ditetapkan terutama berkaitan bencana dan kecemasan," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Menurutnya, jenazah dibawa dari HRPB menggunakan kenderaan hospital terbabit sehingga ke tanah perkuburan tersebut.

Muhammed Ameen berkata, setelah sampai di tanah perkuburan, anggota terlibat bersama beberapa orang awam membantu menurunkan jenazah ke dalam liang lahad sehingga proses pengebumian selesai.

Artikel Berkaitan: