Bunuh rakan senegara: 4 rakyat Kemboja, lelaki tempatan direman

Suspek-suspek yang dikawal ketat polis keluar dari lokap Kompleks Mahkamah Kota Bharu menuju ke bilik Mahkamah Majistret bagi mendapatkan perintah tahanan reman untuk membantu siasatan kes bunuh rakan senegara.
Suspek-suspek yang dikawal ketat polis keluar dari lokap Kompleks Mahkamah Kota Bharu menuju ke bilik Mahkamah Majistret bagi mendapatkan perintah tahanan reman untuk membantu siasatan kes bunuh rakan senegara.
A
A
A

KOTA BHARU - Empat warganegara Kemboja termasuk seorang wanita dan seorang lelaki tempatan ditahan reman tujuh hari di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu bagi membantu siasatan kes kematian rakan senegara mereka susulan pergaduhan di Kampung Penambang pada Ahad lalu.

Perintah reman terhadap kesemua suspek yang berusia 29 hingga 48 tahun itu dibuat di hadapan Majistret Muhammad Fitri Mokhtar.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, tempoh reman tersebut berkuatkuasa bermula Rabu sehingga Selasa depan.

Katanya, mereka ditahan di beberapa lokasi termasuk di Kampung Bukit Marak pada Selasa.

“Kesemua suspek ditahan bagi membantu siasatan kes pergaduhan di Kampung Penambang pada Ahad lalu yang menyebabkan seorang rakan senegara mereka meninggal dunia pada Isnin ketika dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

“Hasil bedah siasat terhadap mayat mangsa yang dijalankan oleh Unit Forensik HRPZ II mendapati punca kematian kerana kecederaan di kepala akibat trauma tumpul,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan seorang buruh warganegara Kemboja, Sovann Arozak, 40, dibawa ke hospital menggunakan ambulans pada jam 10.45 malam, Ahad untuk mendapatkan rawatan selepas terbabit dalam pergaduhan dengan rakan sekerja sewarganegara.

Artikel Berkaitan:

Mangsa bagaimanapun meninggal dunia pada jam 11.20 pagi Isnin.

Punca perbalahan dipercayai akibat rasa tidak puas hati berkaitan upah pembayaran bagi kerja-kerja membaiki tandas.