Suspek pengedaran dadah maut dalam serbuan polis

Serbuan dilakukan anggota polis di sebuah flat di Taman Dato' Senu, Kuala Lumpur pada petang Selasa.
Serbuan dilakukan anggota polis di sebuah flat di Taman Dato' Senu, Kuala Lumpur pada petang Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki yang disyaki pengedar dadah maut dalam serbuan pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sebuah flat di Taman Dato' Senu, di sini pada petang Selasa.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, dalam serbuan sekitar jam 5 petang itu, suspek bertindak agresif dan cuba menyerang pasukan serbuan menggunakan sabit.

"Suspek iaitu seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun bertindak agresif dengan mencapai sebilah sabit dan hendak menyerang pasukan serbuan ketika cuba untuk menangkap suspek.

"Setelah suspek berjaya ditangkap, pihak serbuan menjalankan pemeriksaan di dalam rumah. Pada masa sama pihak polis mendapati suspek tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Azmi berkata, polis segera menghubungi ambulans untuk mendapatkan bantuan kecemasan, bagaimanapun suspek disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan di tempat kejadian.

Beliau berkata, pihak serbuan juga menemui dadah jenis methamphetamine seberat 51.24 gram dan heroin seberat 1.97 gram di tempat kejadian.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kematian suspek diklasifikasikan sebagai kematian mengejut sehingga laporan bedah siasat diperoleh daripada Hospital Kuala Lumpur (HKL)," jelas beliau.

Artikel Berkaitan: