'ADUN UMNO khianati kerajaan Melaka perlu dipecat'

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka daripada UMNO yang mengkhianati kerajaan negeri itu perlu bersedia menerima tindakan termasuk dipecat oleh parti.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana tindakan yang dibuat itu jelas tidak mengikut ketetapan yang dibuat parti.

"Saya berasakan bahawa persoalan utama sebagaimana yang berlaku di peringkat pusat dan juga berlaku di beberapa negeri, ketaatan mana-mana wakil rakyat sama ada mereka terdiri daripada ADUN atau ahli Parlimen hendaklah berfokus kepada taat setia kepada parti.

"Terutamanya jika nakhoda parti itu oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN), untuk itu saya mengharapkan langkah bijak dari segi politik dan pentadbiran harus ditangani dengan sebaiknya," katanya pada sidang akhbar di Parlimen pada Selasa.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid turut meminta supaya rakyat Melaka terus memberi kepercayaan kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang akan mengetuai kerajaan 'caretaker' atau sementara di negeri itu.

"Nasihat saya kepada rakyat Melaka agar beri kepercayaan kepada ketua menteri caretaker dan anggaplah pentadbiran yang lancar dan licin dapat diteruskan," katanya.

Pada Selasa, Yang Dipertua DUN, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengumumkan DUN Melaka dibubarkan.

Beliau memaklumkan keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam pada sesi sidang akhbar di Seri Negeri, Ayer Keroh.

Artikel Berkaitan:

Politik Melaka kembali bergolak selepas empat orang ADUN kerajaan iaitu bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) mengesahkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman Md Ali.