PRN Melaka: PM ambil maklum kebimbangan rakyat terhadap Covid-19

SIAP SEDIA ... Ismail Sabri Yaakob memberi isyarat bagus semasa pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2021 di pekarangan Laman Kompleks Perbadanan Putrajaya hari ini.
 - Foto bernama
SIAP SEDIA ... Ismail Sabri Yaakob memberi isyarat bagus semasa pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2021 di pekarangan Laman Kompleks Perbadanan Putrajaya hari ini.
 - Foto bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau mengambil maklum kebimbangan rakyat berhubung risiko penularan Covid-19 sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diadakan.

Semasa ditemui media selepas melancarkan Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2021 di sini pada Selasa, Ismail Sabri berkata, ekoran perkembangan politik di Melaka, media sosialnya telah dihujani dengan pelbagai pandangan daripada orang ramai yang bimbang akan berlaku peningkatan kes seperti yang berlaku pada PRN Sabah lalu.

“Di Sabah dahulu kes telah rendah tetapi apabila diadakan PRN, akhirnya kes meningkat semula dan ini perkara yang ramai bimbang.

“Jika (PRN Melaka) diadakan, saya percaya SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) akan adakan SOP (prosedur operasi standard) ketat untuk pastikan kawalan dapat dibuat," katanya mengulas situasi di Melaka serta meminta menunggu keputusan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam.

Pada Isnin, empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka mengumumkan mereka hilang kepercayaan serta menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Perkembangan tersebut merisikokan kerajaan Melaka pimpinan Barisan Nasional (BN) sekarang tumbang.

Empat ADUN itu ialah bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas)

Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka mempunyai 28 kerusi dengan 14 kerusi dipegang BN, Bersatu (dua), DAP (tujuh), PKR (dua), Amanah (dua) dan Bebas (satu).

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata beliau menyerahkan kepada Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk mencari penyelesaian berhubung isu di Melaka itu kerana ia turut melibatkan isu parti.