Jangan sampai jejas persiapan

Aminuddin sewaktu meraikan program khatan beramai-ramai di Hospital KPJ, semalam.
Aminuddin sewaktu meraikan program khatan beramai-ramai di Hospital KPJ, semalam.
A
A
A
SEREMBAN - PKR negeri ini berharap isu perebutan untuk menjadi calon bagi PRK Rantau dalam kalangan pemimpin PKR Cabang Rembau tidak menjejaskan persiapan jentera PRK itu.

Pengerusi PKR Negeri Sembilan, Aminuddin Harun berkata, isu itu timbul disebabkan beberapa pemimpin di Cabang Rembau itu sendiri menawarkan diri untuk menjadi calon bagi kerusi Dun berkenaan.

Katanya, nama Timbalan Ketua Cabang Rembau, Dr S Streram yang juga bekas calon PKR bagi kerusi itu pada PRU14 disenaraikan bersama empat nama lain termasuk Ketua Cabang Rembau, R Tanggam.

“Ini (isu antara Dr Streram dan Tanggam) bukan perselisihan atau perpecahan, tapi perkara biasa. Setiap kali ada pertandingan, masing-masing mahu tawar diri, ini adalah proses demokrasi dan semua pihak perlu menerimanya.

“Kita serahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukan calon yang paling layak bertanding di kerusi itu nanti, kita berharap, isu ini tidak menggugat jentera di peringkat bawah dan tidak memberi kesan besar kepada persediaan menghadapi PRK,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program khatan beramai-ramai anjuran Hospital Pakar KPJ Seremban, semalam.

Sebelum ini, Aminuddin menegaskan Dr Streram menjadi keutamaan PKR negeri untuk dinamakan sebagai calon PRK berkenaan berikutan usahanya yang memfailkan petisyen sehingga berjaya setelah haknya untuk bertanding pada PRU14 dinafikan.

Bagaimanapun, Tanggam kemudian mengeluarkan kenyataan meminta kepemimpinan parti itu supaya menamakan anak tempatan sebagai calon PRK Rantau kerana Dr Streram disifatkan sebagai calon ‘payung terjun’ yang berasal dari Johor.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, PKR negeri akan berusaha untuk menyatukan semula kedua-dua pemimpin itu supaya isu ini tidak berlarutan.
Artikel Berkaitan:


“Kita akan pastikan mereka bersatu semula. Saya ingin ingatkan kepada semua supaya terima keputusan pucuk pimpinan dengan baik, jika tidak dipilih menjadi calon kali ini, mungkin anda berpeluang jadi calon pada masa depan.

“Orang yang dicalonkan kali ini pula, mungkin pada masa depan tidak lagi dicalonkan. Yang penting, kita perlu teruskan bekerja dan menjaga kredibiliti supaya sentiasa mempunyai peluang untuk menjadi calon,” katanya.

Sementara itu, Streram ketika ditemui berkata, beliau bersedia menerima apa jua keputusan pucuk pimpinan.

Katanya, siapa sahaja pilihan, beliau akan akur demi memastikan kekuatan parti terus kukuh.

“Siapa juga pilihan parti kita akan terima, asalkan orang itu boleh buat kerja.

“Bagaimanapun secara peribadi saya telah berkhidmat di Rantau sejak tiga tahun lalu, persiapan sudah pun dibuat sejak PRU14 lalu dan sehingga kini saya masih berkhidmat di situ, jadi terpulang kepada pucuk pimpinan untuk memilih,” katanya.