PH dakwa kerajaan negeri Melaka hilang majoriti

Adly (empat dari kiri) ketika sidang akhbar PH Melaka di sebuah hotel di Bandaraya Melaka pada Isnin.
Adly (empat dari kiri) ketika sidang akhbar PH Melaka di sebuah hotel di Bandaraya Melaka pada Isnin.
A
A
A

MELAKA - Pakatan Harapan (PH) pada Isnin mengumumkan kerajaan negeri Melaka yang dipimpin Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali telah hilang majoriti.

Ia berikutan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang); Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor); Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) telah menarik sokongan kepada kerajaan negeri sedia ada.

Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, keputusan itu jelas menyatakan bahawa mereka tidak lagi bersama kerajaan negeri dan Sulaiman tidak lagi mendapat kepercayaan sebilangan besar majoriti untuk terus mentadbir kerajaan sedia ada.

Menurutnya, selaras dengan peruntukan Perkara 7(4) perlembagaan negeri, Ketua Menteri hendaklah meletakkan jawatan sekiranya tidak lagi mendapat kepercayaan sebilangan besar ADUN.

"Melainkan jika atas permintaan daripada Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam untuk membubarkan DUN," katanya ketika sidang akhbar di sebuah hotel di sini pada Isnin.

Adly yang juga ADUN Bukit Katil berkata, keutamaan PH Melaka pada masa ini adalah untuk memastikan kestabilan politik negeri memandangkan negara masih berdepan pandemik Covid-19.

Menurutnya, ini penting bagi memastikan pentadbiran yang cekap, bertanggungjawab dan telus dapat direalisasikan demi kesejahteraan rakyat.

Adly berkata, beliau mewakili 11 ADUN PH, manakala Idris mewakili empat ADUN terbabit akan mengadakan pertemuan dengan Mohd Ali bagi membincangkan usaha untuk memastikan kestabilan dan kesinambungan pentadbiran kerajaan negeri dapat diteruskan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, jelas beliau, berdasarkan perlembagaan negeri, kuasa melantik Ketua Menteri adalah di bawah bidang kuasa Yang di-Pertua Negeri Melaka.