4 ADUN Melaka umum hilang percaya terhadap Ketua Menteri

 Idris (dua dari kiri) mengetuai sidang akhbar di sebuah hotel di bandar Melaka di sini, pada Isnin.
Idris (dua dari kiri) mengetuai sidang akhbar di sebuah hotel di bandar Melaka di sini, pada Isnin.
A
A
A
MELAKA - [DIKEMAS KINI] Desas-desus kemelut politik di Melaka terjawab apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mewakili kerajaan negeri mengumumkan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Empat ADUN itu ialah bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Idris yang mengetuai sidang akhbar berkata, kesemua mereka telah menghantar surat menarik sokongan berkenaan kepada Pejabat Ketua Menteri Melaka pada Isnin.

“Saya bersama empat wakil rakyat ini mengumumkan hilang kepercayaan kepada kepimpinan Sulaiman serta seluruh barisan kerajaan negeri, sekali gus kami akan mencari jalan untuk memberikan peluang kepada kerajaan negeri ini untuk ditubuhkan," katanya pada sidang akhbar di sebuah hotel di sini pada Isnin.

Idris yang juga ADUN Sungai Udang berkata, beliau bersama Nor Azman yang merupakan wakil rakyat daripada UMNO sedia untuk berdepan sebarang tindakan daripada parti itu dan menyerahkannya kepada lembaga disiplin.

"Kami masih lagi bersama UMNO setakat hari ini dan sebarang tindakan saya serahkan kepada parti. Kami tunggu dipanggil oleh badan disiplin.

"Kami tetap menyatakan bahawa kami meletakkan kepentingan rakyat atas segalanya kerana banyak perkara tidak terlaksana, seolah-olah ada dua singa atas satu gunung," ujar beliau.

Sebelum ini, kerajaan negeri Melaka dipimpin oleh Sulaiman daripada UMNO berikutan Perikatan Nasional (PN) mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri selepas Pakatan Harapan (PH) tumbang pada Mac tahun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN:Melaka bakal bertukar tangan?

ARTIKEL BERKAITAN:Politik Melaka: Dua wakil rakyat kerajaan didakwa buat pusingan U

Artikel Berkaitan: