Piala Sudirman: Skuad muda Malaysia akhiri saingan

Aksi Aaron (kanan) dan Wooi Yik ketika menentang Takuro Hoki -Yugo Kobayashi dalam aksi separuh akhir Piala Sudirman di Vantaa, Finland, malam ini. Foto EPA
Aksi Aaron (kanan) dan Wooi Yik ketika menentang Takuro Hoki -Yugo Kobayashi dalam aksi separuh akhir Piala Sudirman di Vantaa, Finland, malam ini. Foto EPA
A
A
A

HASRAT skuad muda badminton negara untuk menebus kekalahan kepada Jepun dalam perlawanan peringkat kumpulan sebelum ini tidak kesampaian apabila sekali lagi terpaksa akur kehebatan negara matahari terbit tersebut di pentas separuh akhir.

Skuad negara yang diketuai pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia tewas 1-3 kepada pasukan Jepun yang dikepalai Kento Momota dalam aksi di Energia Arena, Vantaa, Finland, malam tadi sekali gus menafikan kemaraan ke perlawanan akhir.

Kekalahan itu sekali gus menyaksikan pasukan pilihan kejuaraan edisi Finland 2021 tersebut meneruskan rekod kemenangan setelah mengatasi pasukan badminton campuran negara 4-1 dalam peringkat kumpulan sebelum ini.

Biarpun begitu pencapaian skuad negara pada kali ini boleh dibanggakan apabila sasaran suku akhir ditetapkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berjaya direalisasikan skuad muda negara yang dipacu Zii Jia dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Skuad negara yang masih segar selepas mencipta mencipta kejutan menyingkirkan Indonesia 3-2 pada pentas suku akhir sebelum ini sekali gus pencapaian layak ke separuh akhir Piala Sudirman buat kali pertama sejak 2009, mempertaruhkan pasangan beregu lelaki negara Aaron-Wooi Yik pada perlawanan pertama.

Bagaimanapun beregu negara yang berkedudukan nombor lapan dunia tewas 21-15, 21-14 dalam aksi 42 minit kepada beregu nombor 16 dunia Takuro Hoki-Yugo Kobayashi.

S Kisona yang tampil pada aksi kedua ternyata gagal menyaingi pengalaman pemain nombor lima dunia Akane Yamaguchi apabila pemain perseorangan wanita negara yang berstatus ke-53 dunia tersebut tewas 21-7, 21-5 dalam masa 26 minit

Zii Jia yang tampil dengan status pemain nombor lapan dunia kembali menebus kekalahan pada aksi peringkat kumpulan sebelum ini apabila mengambil masa 59 minit menjinakkan Momota yang juga pemain nombor satu dunia 22-20, 21-19.

Artikel Berkaitan:

Aksi ketiga pula menyaksikan pasangan beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah kedudukan ke-19 dunia tewas 19-21, 17-21 dalam aksi 55 minit kepada Mayu Matsumoto-Misaki Matsumoto.

Kemenangan ke atas Malaysia tersebut, menyaksikan Jepun akan membuat perhitungan dengan China di pentas perlawanan akhir selepas mengalahkan Korea Selatan 3-0 dalam aksi sebelum itu.