Azroy kekal rekod cemerlang di Terengganu

Aksi Azroy (kiri) di Litar Permotoran Terengganu, pada Sabtu.
Aksi Azroy (kiri) di Litar Permotoran Terengganu, pada Sabtu.
A
A
A

PELUMBA Honda Yuzy Idemitsu Team, Azroy Hakeem Anuar, meneruskan rekod cemerlang peribadi di litar kegemarannya, Litar Permotoran Terengganu, apabila berjaya memenangi perlumbaan Pusingan 5 Kejuaraan Petronas Malaysian Cub Prix yang dianjurkan di litar 1.371km itu minggu ini.

“Saya amat berpuas hati dengan persembahan kami minggu ini,” jelas Azroy yang berjaya memecah rekod lap terpantas sebanyak tiga kali dalam tempoh sehari.

Kali pertama dilakukan pada sesi Warm-Up, seterusnya pada sesi Shoot-Out dan akhir sekali, Azroy mencatat rekod lap terpantas di Litar Permotoran Terengganu dengan masa 48.936s.

Permulaan perlumbaan kategori perdana dikuasai oleh pelumba kelahiran Terengganu, Ahmad Afif Amran. Afif, dari Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing, mendahului perlumbaan selama 16 lap, namun demikian, Afif tidak berjaya menjarakkan diri dari asakan Azroy.

Azroy yang menggunakan jentera Honda berjaya memintas pada lap ke-17. Pertempuran antara Azroy dan Afif berlarutan sehingga ke lap terakhir. Malang sekali, insiden kemalangan pada lap terakhir memaksa bendera merah dikibarkan.

Oleh itu, keputusan Pusingan 5 CP150 diambil dari lap ke-16 dan Azroy diisytiharkan sebagai pemenang dengan catatan masa 14’04.644s, diikuti Ahmad Afif Amran di tempat kedua dan Mohd Akid Aziz di tempat ketiga.

Azroy turut mengalami kecederaan ringan dalam insiden tersebut, bagaimanapun, pelumba Honda itu tegas menyatakan bahawa dia akan meneruskan perlumbaan Pusingan 6.

“Litar Permotoran Terengganu ini sememangnya litar kegemaran saya. Persiapan pasukan kami serta prestasi motosikal kami begitu meyakinkan. Dalam perlumbaan tadi, walaupun menerima tentangan hebat dari Afif, saya masih yakin dengan kebolehan kami untuk meraih kemenangan kedua musim ini.

Artikel Berkaitan:

“Kemalangan yang berlaku di lap terakhir sememangnya di luar jangkaan. Saya mengalami kecederaan ringan pada kaki kanan, tetapi masih yakin akan beraksi esok untuk Pusingan 6," katanya.

Perlumbaan CP125 dimenangi Mohd Adib Rosley dari Ipone Yamaha YY Pang Racing Team. Adib, seorang pelumba yang begitu berpengalaman, berjaya membuat kejutan pada lap terakhir.

Adib memintas Mohd Syafiq Rosli untuk menduduki tempat pertama dengan 13’06.025s. Syafiq terpaksa berpuas hati di tempat kedua manakala tempat ketiga diisi oleh Mohd Firdaus Mohd Hamdan dari Moto1 Koyoko Honda KC Racing Team.

Sementara dalam kategori Wira KBS, Mohd Harith Haziq Zamri merayakan kemenangan pertamanya dengan catatan masa 10’44.956s. Mohd Aqil Danial Nasrul menamatkan perlumbaan di tempat kedua, disusuli oleh Mohd Adam Haikal Jahar dari Wiramuda V-Fiertech Academy Racing di tempat ketiga.