X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 03 Disember 2021

'Kekalkan semangat melawan luar biasa anda semua'

Pada aksi malam ini, Lee Zii Jia dan rakan-rakan juga berpeluang menebus kekalahan 1-4 kepada pasukan pilihan Jepun semasa aksi peringkat kumpulan sebelum ini. - Foto fail Bernama
A
A

TAMPIL dengan semangat melawan luar biasa ketika menjinakkan seteru utama Indonesia 3-2 dalam aksi enam jam di suku akhir Piala Sudirman, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mahu pemain-pemain negara terus menyalakan api semangat kebangkitan tersebut menjelang perlawanan menentang Jepun di Vantaa, Finland malam ini.

"Pertamanya, saya sangat bangga dengan semangat juang tinggi yang dipamerkan dalam kalangan pemain skuad Piala Sudirman 2021 kali ini.

"Biarpun masih muda, kurang pengalaman dan minit permainan di saingan kompetitif sebelum ini itu tidak menjadi penghalang untuk mereka lebih garang dalam setiap perlawanan mereka.

"Malah mereka semua tidak hanya berjaya membalas kepercayaan BAM dengan deliver sasaran ditetapkan persatuan malah juga membuat rakyat Malaysia bangga dan terharu dengan aksi tidak mudah menyerah kalah sejak hari pertama saingan bermula dengan semangat melawan luar biasa demi maruah Malaysia.

"Insya-ALLAH, saya percaya tembok Jepun tidak mustahil dirobohkan setiap pemain-pemain negara dengan syarat semangat juang tulen Keluarga Malaysia tidak mudah mengalah terus dikekalkan sepanjang perlawanan," ujar Norza kepada Sukan Sinar menjelang perlawanan separuh akhir menentang Jepun malam ini.

Pada aksi malam ini Lee Zii Jia dan rakan-rakan juga berpeluang menebus kekalahan 1-4 kepada pasukan pilihan Jepun semasa aksi peringkat kumpulan sebelum ini.

Pada masa sama Norza berkata, pelaburan secara berterusan yang dilakukan oleh BAM terhadap program pembangunan pemain muda negara di Akademi Badminton Malaysia (ABM) untuk jangka panjang mula membuahkan hasil menerusi pendedahan pada kejuaraan di Finland tersebut.

"Apa yang dipamerkan setiap pemain-pemain negara sejak hari pertama di Energia Arena membukti pelaburan terhadap pemain-pemain muda merupakan keputusan yang tepat.

"Pemain-pemain muda negara pada masa ini berada pada tahap 'young and dangerous' tidak hanya untuk melakar kemenangan tetapi juga mencipta kejayaan demi kejayaan dalam setiap pertandingan," ujarnya lagi.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!