X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 24 Januari 2022

SPRM tahan CEO syarikat kes projek uCustoms

SPRM menahan CEO sebuah syarikat yang dikaitkan dengan projek sistem uCustoms, yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN), baru-baru ini.
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat yang dikaitkan dengan projek sistem uCustoms, yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN), baru-baru ini.

Lelaki berusia 56 tahun itu ditahan pada Jumaat selepas hadir ke ibu pejabat SPRM untuk membantu siasatan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.

Suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya pada Sabtu untuk permohonan reman.

Lelaki itu diwakili oleh peguam Daljit Singh dan Nicholas Mark Pereira.

Daljit Singh berkata, anak guam telah direman selama enam hari bermula Sabtu hingga Khamis.

"Anak guam saya telah direman enam hari. Saya dimaklumkan syarikat anak guam saya akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) adalah antara yang akan dipanggil Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi menjelaskan mengenai kegagalan menyiapkan sistem uCustoms bernilai RM397.43 juta, sehingga kini.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh, berkata setakat ini, kerajaan sudah membayar sejumlah RM272.99 juta bagi projek yang dimulakan pada Oktober 2013 dan diberi pelanjutan sehingga lima kali.

LKAN 2019 Siri 2 yang dibentangkan di Dewan Rakyat, baru-baru ini mendedahkan, sistem uCustoms oleh JKDM bagi menggantikan Sistem Maklumat Kastam (SMK) gagal disiapkan dalam tempoh 86 bulan walaupun lima lanjutan tempoh masa (EOT) diberikan.

Menurut laporan audit itu, sejumlah RM272.99 juta dibayar kepada pembekal dan Pejabat Pengurusan Projek, manakala hanya satu Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD) berjumlah RM55,660 dikenakan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!