Kereta dinaiki rempuh jentolak, remaja perempuan maut

Keadaan kenderaaan yang dinaiki mangsa kemalangan di Telok Gong, Pelabuhan Klang di sini pada Jumaat.
Keadaan kenderaaan yang dinaiki mangsa kemalangan di Telok Gong, Pelabuhan Klang di sini pada Jumaat.
A
A
A

KLANG - Seorang remaja perempuan berusia 18 tahun maut selepas kereta dinaiki terbabit kemalangan dengan sebuah jentolak di Jalan Telok Gong, Pelabuhan Klang di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, siasatan awal mendapati semasa kejadian pada jam 12.13 tengah hari, kereta Perodua Myvi dari arah Pandamaran itu dinaiki tiga individu termasuk dua beradik.

"Mereka dalam perjalanan pulang ke rumah di kawasan berhampiran lokasi kejadian selepas membeli barangan keperluan di kedai," katanya melalui kenyataan pada Jumaat.

Shamsul Amar berkata, kereta dipandu lelaki berusia 19 tahun itu dipercayai pada kadar kelajuan yang tinggi telah memasuki arah bertentangan sebelum melanggar 'bucket' jentolak tersebut.

“Akibat pelanggaran itu, penumpang hadapan kereta Myvi dikenali Nurshaniza Alaudin meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya.

Menurutnya, mangsa yang maut itu merupakan rakan sekerja kepada pemandu kereta tersebut.

"Mayatnya telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat, manakala pemandu dan adik perempuannya berusia 15 tahun dihantar hospital sama untuk rawatan lanjut," katanya.

Shamsul Amar berkata, siasatan awal mendapati pemandu kereta berkenaan tidak mempunyai lesen memandu.

Artikel Berkaitan:

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan 1987,” katanya