Organ dalaman Adib semakin pulih

Mohamad Hamdan (kanan) hadir melawat Muhammad Adib yang sedang dirawat di ICU IJN.
Mohamad Hamdan (kanan) hadir melawat Muhammad Adib yang sedang dirawat di ICU IJN.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kecederaan organ dalaman Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, yang parah diserang perusuh di hadapan Kuil Sr Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, menunjukkan perkembangan yang semakin baik.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Mohamad Hamdan Wahid berkata, pihak Institut Jantung Negara (IJN) baru sahaja selesai menjalankan proses bronchoscopy iaitu memasukkan kamera melalui mulut untuk melihat keadaan paru-paru Muhammad Adib.

Menurutnya, beliau difahamkan proses itu dijalankan malam tadi.

"Proses itu mendapati paru-paru Muhammad Adib semakin baik. Pihak IJN juga memaklumkan tahap oksigen juga memuaskan selain keadaan buah pinggang Adib menunjukkan perkembangan positif.

"Secara keseluruhannya keadaan beliau semakin baik dan kami mendoakannya agar cepat sembuh," katanya selepas meluangkan masa melawat Muhammad Adib di IJN, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau turut menyatakan bilangan pelawat dan ruang untuk melawat anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya itu terpaksa dihadkan.

Katanya, ini bagi mengelakkan jangkitan kuman.

"Ketika ini Adib sudah sedar dan memberikan respon, namun dia ditidurkan untuk pastikan proses penyembuhannya berjalan baik," katanya.

Artikel Berkaitan:

Semalam, keadaan Muhammad Adib dilaporkan mula sedar dan faham arahan yang diberikan.

[ARTIKEL BERKAITAN: Rusuhan kuil: Muhammad Adib dah sedar]

[ARTIKEL BERKAITAN: Menteri kecam tindakan perusuh]

[ARTIKEL BERKAITAN: Muhammad Adib ditarik dari jentera ketika pasukan berundur]

[ARTIKEL BERKAITAN: Rusuhan kuil: PDRM tubuh pasukan khas]

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Jantung Negara (IJN) Datuk Seri Dr Azhari Yakub dilaporkan berkata, keadaan Muhammad Adib masih dikategorikan sebagai kritikal namun stabil.

Dalam kejadian Selasa lalu, Mohammad Adib dilaporkan ditarik perusuh di kawasan kuil ketika pasukannya berundur dari lokasi di hadapan Kuil Sri Maha Mariamman.

Dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) termasuk van Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang dinaiki Muhammad Adib diserang dengan balingan batu dan objek lain menyebabkan berlaku kerosakan pada cermin serta badan kenderaan itu.

Dalam situasi panik untuk berundur, mangsa telah ditarik keluar dari tempat duduk penumpang van EMRS oleh perusuh dan dipercayai dipukul sehingga tidak sedarkan diri.