Keputusan kes bunuh Zulfarhan diketahui 2 November

Zulfarhan Osman Zulkarnain
Zulfarhan Osman Zulkarnain
A
A
A

KUALA LUMPUR - Selepas empat tahun kematian Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Zulfarhan Osman Zulkarnain, nasib enam penuntut UPNM sama ada digantung atau dibebaskan akan ditentukan Mahkamah Tinggi di sini pada 2 November depan.

Mereka ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Mohamad Shobirin Sabri berdepan pertuduhan membunuh Zulfarhan, manakala Abdoul Hakeem Mohd Ali didakwa bersubahat membunuh.

Enam tertuduh ini bersama 12 lagi iaitu Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif, Muhammad Adib Iman dan Mohamad Syazwan, juga diperintah membela diri atas pertuduhan mencederakan Zulfarhan.

Bapa kepada Allahyarham Pegawai Kadet Zulfarhan Osman, Zulkarnain Idris ketika hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. Foto Bernama
Bapa kepada Allahyarham Pegawai Kadet Zulfarhan Osman, Zulkarnain Idris ketika hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. Foto Bernama

Hakim Datuk Azman Abdullah menetapkan tarikh itu sejurus selesai hujahan lisan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan.

“Mengambil kira kelapangan pihak-pihak, mahkamah menetapkan kira-kira sebulan daripada tarikh hari ini, iaitu pada jam 10 pagi, 2 November depan untuk keputusan di akhir perbicaraan,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datin Kalmizah Salleh bersama Timbalan Pendakwa Raya, Joy Jothi manakala barisan peguam yang mewakili tertuduh-tertuduh antaranya Amer Hamzah Arshad, Datuk Seri M Ramachelam, Datuk Ranjit Singh, Datuk Hazman Ahmad, Zamri Idrus, Fadly Hashim dan Datuk Haziziah Kassim.

Ketika prosiding, Kalmizah berkata, berdasarkan keterangan daripada saksi pendakwaan keenam, Pakar Perubatan Forensik Hospital Serdang, Dr Salmah Arshad yang menyatakan ada keradangan pada paru-paru Zulfarhan tetapi tiada tisu penyembuhan (granulation tissue).

Artikel Berkaitan:

Maka katanya, ia selari dengan versi pendakwaan tentang adanya keradangan tetapi bukanlah punca utama sebab kematian seperti yang dikatakan oleh saksi pembelaan ke-19, Ketua Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sungai Buloh, Dr Rohayu Shahar Adnan.

“Ia disokong keterangan saksi ketujuh pendakwaan, Pegawai Perubatan Klinik As-Salam di Bandar Baru Bangi, Selangor Dr Azfar Hussin yang merawat Zulfarhan pada 27 dan 31 Mei 2017, mendapati keadaan paru-paru mangsa adalah normal.

“Saksi pendakwaan ke-30, bekas Pegawai Perubatan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Dr Harniza Kosnan juga menyatakan Zulfarhan tidak pernah hadir ke pusat kesihatan universiti, mengadu mengalami sesak nafas atau sakit jantung kecuali demam dan sakit lutut,” katanya.

Kalmizah berkata, pihak pendakwaan menegaskan bahawa, keterangan Dr Rohayu langsung tidak mematahkan dapatan Dr Salmah sepertimana yang dihujahkan oleh peguam bela tertuduh pertama dan kedua.

Selain itu beliau berkata, keterangan Dr Rohayu terhadap ujian microkopik adalah meragukan dan satu yang ‘exaggerating’ (melampau).

Menurutnya, ia berkaitan ujian mickroskopik yang menyatakan Zulfarhan mempunyai masalah kesihatan seperti otak Ischemia, otak berdarah, radang otak kronik, pankreatitis, ‘acute fatty liver’ kronik, pneumonia, sel jantung besar dan turut mengatakan Allahyarham pernah mengalami sakit jantung

Ia katanya, adalah tidak selari dengan fakta bahawa Zulfarhan yang merupakan seorang yang aktif dalam menjalankan aktiviti lasak serta merupakan seorang triathlon UPNM.

“Pihak pendakwaan berhujah bahawa, pihak pembelaan gagal untuk memberikan keterangan untuk memuaskan.

“Oleh itu, saya menghujahkan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes di luar keraguan munasabah terhadap semua tertuduh,” katanya.

Sepanjang perbicaraan yang bermula 29 Januari 2018, pihak pendakwaan memanggil seramai 31 saksi antaranya Dr Salmah.

Bagi perbicaraan bela diri pula bermula 2 Oktober 2019, dengan pihak pembelaan memanggil seramai 20 saksi termasuk Dr Rohayu.

Pada 31 Julai 2019, Mahkamah Tinggi memerintahkan 18 penuntut UPNM membela diri terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan.

Lima tertuduh iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Mohamad Shobirin Sabri berdepan pertuduhan membunuh Zulfarhan, manakala seorang lagi, Abdoul Hakeem Mohd Ali didakwa bersubahat membunuh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara jam 4.45 pagi dan jam 5.45 pagi, 22 Mei 2017, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, manakala Abdoul Hakeem didakwa mengikut Seksyen 109 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mereka bersama 12 lagi iaitu Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif, Muhammad Adib Iman dan Mohamad Syazwan, juga diperintah membela diri atas pertuduhan mencederakan mangsa.

Mereka didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa, untuk mendapatkan pengakuan bahawa dia telah mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam bilik 03-05, blok penginapan asrama Jebat universiti itu di Kem Perdana, Sungai Besi antara jam 2.30 pagi dan jam 5.30 pagi 21 Mei 2017.