Operasi Medan Gopeng: Kerajaan negeri perlu beri perhatian

Suasana di Terminal Amanjaya
Suasana di Terminal Amanjaya
A
A
A

IPOH - Pertubuhan Kebajikan Agen Jualan Tiket Bas Ekspres Terminal Amanjaya yang memohon untuk beroperasi semula di Medan Gopeng sewajarnya diberikan perhatian oleh kerajaan negeri.

Pengerusi Persatuan Usahawan Bersatu Ipoh Perak (PUBI), Sharul Baha Abd Rahman berkata, usaha berkenaan dilihat sebagai merancakkan kembali ekonomi di kawasan berkenaan.

Menurutnya, kerancakan ekonomi di kawasan berkenaan sekali gus akan menjadikan bangunan Silveritage yang dilihat ‘kurang memberangsangkan’ turut rancak.

“Sejak dipindahkan stesen bas di Medan Gopeng ke Terminal Amanjaya, beberapa masalah timbul yang melibatkan orang awam khususnya pengguna bas ekspres, rata-rata mengeluh terpaksa ke Terminal Amanjaya yang lokasinya agak jauh dari pusat bandar Ipoh.

“Kini keluhan diluahkan pula oleh ejen penjual tiket bas ekspres yang terpaksa mencari pekerjaan lain akibat penutupan kaunter di Terminal Amanjaya pula yang mengatakan hampir 200 keluarga hilang sumber pendapatan sekiranya isu ini tidak dapat diselesaikan segera oleh kerajaan negeri.

“Justeru, PUBI berpandangan sekiranya isu ini dapat diselesaikan dengan mengambil kira semua aspek, semua pihak akan mendapat manfaat masing-masing yang secara tidak langsung memberikan impak yang besar dalam meningkatkan taraf ekonomi di sekitar kawasan ini dan akhirnya dapat mewujudkan situasi menang-menang antara kerajaan negeri serta semua lapisan masyarakat,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Sementara itu Sharul Baha berkata, tidak ada salahnya sekiranya kaunter jualan ejen dibenarkan beroperasi di Medan Gopeng kerana ia akan memberikan kemudahan kepada orang ramai.

“Selain itu kebenaran untuk bas menurunkan dan mengambil penumpang, sekali gus memudahkan pengguna bas ekspres di selatan bandar Ipoh dan pusat bandar terutamanya pelajar institut pengajian tinggi awam mahupun swasta untuk mendapatkan bas.

Artikel Berkaitan:

“Jika diberi alasan laluan atau jalan yang sibuk atau sempit, bagaimana pula dengan bandaraya Kuala Lumpur? Bukankah ada beberapa hentian yang boleh beroperasi selain dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS)?

"Jadi tak ada salahnya jika kaunter jualan agen dibenarkan beroperasi di Medan Gopeng ini,” katanya.