Liputan 4G di seluruh negara meningkat 94 peratus

Tahap liputan 4G di seluruh negara mencatatkan peningkatan sebanyak 94 peratus tahun ini. - Foto 123rf
Tahap liputan 4G di seluruh negara mencatatkan peningkatan sebanyak 94 peratus tahun ini. - Foto 123rf
A
A
A

SHAH ALAM - Tahap liputan 4G di seluruh negara mencatatkan peningkatan sebanyak 94 peratus tahun ini berbanding 91.8 peratus pada September lalu menerusi inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela).

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataan memaklumkan, bagi tempoh yang sama, purata kelajuan jalur lebar mudah alih negara telah mencapai 29.14Mbps dan memperlihatkan peningkatan berbanding dengan 25Mbps.

Menurut kenyataan itu, sejumlah 6.255 juta premis pula telah diliputi dengan rangkaian gentian optik dan jumlah berkenaan adalah jauh lebih tinggi jika dibandingkan dengan 4.95 juta premis pada September 2020.

“Secara keseluruhannya, di bawah Fasa Satu Pelan Jendela, sebanyak 1,661 menara komunikasi baharu akan dibina di kawasan bandar dan luar bandar yang dijangka bermula pada suku akhir tahun 2021.

“Turut dilaksanakan ialah perkhidmatan capaian jalur lebar melalui satelit (VSAT) di 839 lokasi di kawasan kurang penduduk di pedalaman pada suku keempat 2021 bagi meningkatkan capaian liputan internet,” kata kenyataan itu pada Khamis.

Menurut kenyataan itu, usaha yang menampakkan perkembangan memberangsangkan itu dilakukan dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dalam mempertingkatkan tahap kesalinghubungan di seluruh negara di bawah Jendela.

"Ia apabila ketiga-tiga indikator iaitu tahap liputan 4G di kawasan berpenduduk, purata kelajuan jalur lebar mudah alih dan rangkaian gentian optik masing-masing memperlihatkan petanda yang positif," jelas kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, perkembangan pelaksanaan Jendela yang memberangsangkan itu didorong oleh sokongan padu yang diberikan oleh kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT), kerjasama oleh pihak industri serta komitmen kerajaan dalam memastikan kesalinghubungan internet yang lebih baik sekaligus memacu pertumbuhan ekonomi digital negara.

Artikel Berkaitan: