Jentera RM200,000 terbakar disyaki angkara khianat

Kebakaran dua jentera di Sungai Malau, Selama awal pagi Rabu. - Foto JBPM Perak
Kebakaran dua jentera di Sungai Malau, Selama awal pagi Rabu. - Foto JBPM Perak
A
A
A

SELAMA - [DIKEMASKINI] Seorang pemilik kenderaan mengalami kerugian hampir RM200,000 selepas dua jentera berat terbakar dipercayai mempunyai kaitan dengan unsur khianat dalam kejadian di Sungai Malau di sini awal pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Selama, Superintendan Mohd Sabri Saat berkata, kebakaran berlaku ketika dua kenderaan itu iaitu jentera pemasak tar dan penggelek jalan diletakkan di tepi jalan.

"Jentera yang diletakkan di tepi jalan itu telah terbakar dan siasatan awal polis tidak menolak kemungkinan berlakunya unsur khianat.

"Siasatan menyeluruh masih dijalankan dan kita meminta kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar tampil membantu siasatan," katanya.

Anggota bomba menjalankan kerja pemadaman melibatkan dua jentera di Sungai Malau, Selama awal pagi Rabu. - Foto JBPM Perak
Anggota bomba menjalankan kerja pemadaman melibatkan dua jentera di Sungai Malau, Selama awal pagi Rabu. - Foto JBPM Perak

Menurutnya, dalam laporan yang dibuat, pemilik mendakwa mengalami kerugian RM200,000 apabila jentera pemasak tar dan penggelek jalan miliknya musnah dalam kebakaran itu.

"Siasatan lanjut dibuat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, laporan kejadian itu diterima pada jam 1.52 pagi.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kedua-dua jentera mengalami kebakaran sekitar 40 peratus dan api berjaya dikawal sepenuhnya sebelum operasi ditamatkan pada jam 3 pagi.

"Tiada mangsa terlibat dalam kejadian ini dan siasatan mengenai punca kebakaran masih dijalankan," katanya.