Lebih 100,000 veteran ATM belum daftar dengan JHEV

Ikmal Hisham (dua dari kanan) membuat lawatan ke kaunter selepas menyempurnakan majlis perasmian Pusat Perkhidmatan Setempat (OSC) JHEV ATM di Menara TH Perdana hari ini.
Turut sama Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Affendi Buang. Foto Bernama
Ikmal Hisham (dua dari kanan) membuat lawatan ke kaunter selepas menyempurnakan majlis perasmian Pusat Perkhidmatan Setempat (OSC) JHEV ATM di Menara TH Perdana hari ini.
Turut sama Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Affendi Buang. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang mengesan lebih 100,000 bekas anggota dan pegawai ATM yang tidak berdaftar dengan jabatan itu di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, usaha itu bagi membolehkan bekas ATM menikmati segala kemudahan dan bantuan kebajikan yang disediakan oleh kerajaan termasuk kemudahan perubatan.

"Mungkin ada ahli keluarga yang tidak menyedari datuk atau ayah mereka adalah veteran jadi bolehlah bantu mereka untuk mendaftar secepat mungkin dengan JHEV.

"Pada masa ini, terdapat lebih 300,000 bekas anggota ATM dikenal pasti namun hanya 211,924 sudah mendaftar dengan jabatan itu,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian pusat perkhidmatan setempat JHEV ATM di Menara TH Perdana di sini pada Rabu.

Beliau berkata, daripada jumlah yang mendaftar JHEV, seramai 104,760 adalah anggota yang berpencen, 82,031 tidak berpencen manakala 25,133 lagi menerima pencen terbitan.

Sementara itu, Ikmal Hisham berkata, kementeriannya melalui JHEV ATM bercadang untuk mewujudkan pusat perkhidmatan setempat bergerak bagi menyampaikan perkhidmatan kepada warga veteran ATM di seluruh negara.

Menurut beliau pusat itu secara tidak langsung akan membantu dalam proses menjejaki veteran yang belum berdaftar dengan jabatan berkenaan.

Katanya, hasrat penubuhan pusat itu untuk memberikan perkhidmatan yang menyeluruh dengan lebih efektif merangkumi perkhidmatan permohonan atau semakan, faedah kematian, menguruskan kemudahan perubatan dan tanggungan serta banyak lagi.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, sistem penyampaian perkhidmatan yang diintegrasikan dengan kemudahan digital bukan sahaja memudahkan para veteran serta memberi impak positif kepada JHEV tetapi juga menjimatkan masa.

Turut hadir pada majlis perasmian berkenaan adalah Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang. -Bernama