Penyelesaian kes Ahmad Maslan tiada kaitan politik: Peguam

Ahmad dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi hari ini. - Foto Bernama
Ahmad dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Proses penyelesaian kes pertuduhan terhadap Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan tiada sebarang kaitan dengan faktor politik dan luaran atau melibatkan mana-mana individu serta agensi lain.

Peguam yang mewakili Setiausaha Agung UMNO itu, Tetuan Sharul Hamidi dan Haziq berkata, ia semata-mata sebagai satu penyelesaian menang-menang untuk kes berkenaan bagi semua pihak.

Menurutnya, seiring dengan undang-undang, Ahmad Maslan telah menyelesaikan komitmen penyelesaian itu dengan melunaskan pembayaran kompaun seperti mana dipersetujui oleh pihak pendakwaan dan pembelaan.

“Penyelesaian ini bukan pengakuan bersalah terhadap pertuduhan-pertuduhan yang dikenakan ke atas beliau.

“Proses penyelesaian ini telah dibuat menurut undang-undang dan telah melalui proses yang telus dan teratur.

“Untuk makluman, jumlah kompaun yang dibayar iaitu RM1.1 juta adalah bantuan dan pinjaman daripada rakan-rakan yang telah menyokong Datuk Seri Ahmad Maslan sepanjang perjuangan beliau,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu melepas dan membebaskan Ahmad Maslan daripada dua tuduhan iaitu gagal mengisytiharkan wang RM2 juta diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan memberi penyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ia selepas pendakwaan memberitahu mahkamah bahawa pihaknya bersetuju menarik balik kesemua pertuduhan selepas Ahmad Maslan, 55, membayar kompaun RM1.1 juta.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Ahmad Maslan bebas dua tuduhan babit dana RM2 juta

Mengulas lanjut, Tetuan Sharul Hamidi dan Haziq berkata, proses penyelesaian itu bukan satu proses baharu malah ia telah mengambil masa lebih setahun sebelum diterima dan direkodkan di mahkamah.

Jelasnya, beberapa siri representasi juga dimasukkan ke Jabatan Peguam Negara seperti mana pengetahuan umum yang dilaporkan pihak media.

“Proses penyelesaian ini telah melalui beberapa siri permohonan, perbincangan dan timbang tara antara pihak-pihak berkenaan dan hanya direkodkan di mahkamah selepas dimuktamadkan.

“Proses penyelesaian ini juga telah dimuktamadkan selepas pihak-pihak bersedia untuk memberikan komitmen masing-masing terhadap terma penyelesaian yang dipersetujui,” katanya.