X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 18 Oktober 2021

RMK12 pelengkap kepada PPN: Kamaruzaman

Kamaruzaman Mohamad
A
A

SHAH ALAM - Pembentangan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merupakan perancangan penting sebagai pelengkap kepada Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang diperkenalkan kerajaan lalu.

Ketua Penerangan Pas, Kamaruzaman Mohamad berkata, ia sekali gus menunjukkan kerajaan berada pada landasan yang tepat dalam memulihkan negara.

Menurutnya, sebelum ini, lapan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi yang bermula pada 27 Mac 2020 telah berjaya menstabilkan ekonomi negara.

“Malah, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kembali berkembang sebanyak 16.1 peratus pada suku kedua tahun 2021 setelah menguncup pada empat sukuan sebelumnya.

“Saya yakin sasaran untuk membasmi kemiskinan tegar menjelang 2025 serta menumpukan kepada 2.9 juta isi rumah B40 dengan pendapatan bulanan di bawah RM4,850 dapat dicapai sekiranya kerajaan dan seluruh rakyat dapat membangunkan semula ekonomi negara bersama-sama,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pembentangan RMK12 jelas menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk memulihkan negara yang hampir dua tahun berada dalam kemelut pandemik Covid-19.

Katanya, pada masa sama, kerajaan akan berusaha bersungguh-sungguh untuk meningkatkan kesejahteraan Keluarga Malaysia dan memastikan tiada golongan yang tertinggal.

“Insya-ALLAH, dengan penurunan kes positif Covid-19 secara konsisten, peralihan negeri menuju ke Fasa 4 PPN dengan sektor ekonomi yang sudah dibenarkan beroperasi dan dilengkapkan lagi dengan pelan RMK12 ini, saya yakin sistem ekonomi serta kesihatan negara dapat dipulihkan,” ujarnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!