MCA, MIC tidak hadir mesyuarat jika ada Nazri

MCA dan MIC
MCA dan MIC
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketegangan MCA dan MIC dengan UMNO terus meruncing selepas kedua-dua parti itu menegaskan tidak akan hadir dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN sekiranya disertai oleh Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Menerusi satu kenyataan bersama MCA dan MIC, dua parti itu tidak mahu kesahihan intipati mesyuarat dipertikaikan ekoran pelantikan Nazri sebagai Setiausaha Agung BN yang tidak mengikut Perlembagaan BN.

“Kedua-dua parti menyampaikan pendirian yang jelas kepada Urusetia BN bahawa Nazri tidak layak untuk menghadiri Mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang dijadualkan Jumaat ini

“Jadi, bagi mengelakkan sebarang pertikaian dari segi undang-undang, MCA dan MIC hanya akan menghadiri Mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang sah,” katanya kenyataan itu, hari ini.

Kenyataan tersebut ditandatangani oleh Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran.

Menurut kenyataan itu, mengikut Fasal 8.3 (D) Perlembagaan BN, seseorang Setiausaha Agung hendaklah dilantik oleh Pengerusi BN setelah berunding dengan Dewan Tertinggi untuk memegang jawatan selama dua tahun bagi sesuatu perlantikan dan individu terbabit bertanggungjawab ke atas pentadbiran BN.

"Pelantikan Nazri sebagai setiausaha agung BN tidak pernah dibincang atau mendapat persetujuan secara rasmi dalam Dewan Tertinggi BN walaupun ia diumumkan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam majlis perasmian Perhimpunan Agung MIC di Pusat Dagangan Dunia Putra pada 27 Oktober tahun lalu," jelas kenyataan itu.

Kenyataan itu turut mengecam Nazri yang menggunakan kedudukan sebagai Setiausaha Agung BN untuk menghentam MCA dan MIC.

Artikel Berkaitan:

"Pendirian MCA dan MIC ialah, Nazri tidak mempunyai locus standi untuk membuat sebarang kenyataan atas kapasiti Setiausaha Agung BN,” katanya.

Semalam, MCA dan MIC mempertimbangkan untuk meninggalkan BN dan meninjau pakatan politik yang lain selepas asas kesepakatan dalam gabungan parti yang berusia 46 tahun itu sudah tiada lagi.

Menerusi satu kenyataan bersama yang dikeluarkan, dua parti itu akan meneroka satu pakatan baharu selepas UMNO terus membisu berhubung kenyataan perkauman daripada parti itu, termasuk daripada Nazri ketika berkempen di pentas PRK Semenyih.

Bercakap kepada Sinar Harian, Nazri kemudiannya menegaskan MCA dan MIC bebas membuat pakatan baharu dan tidak perlu memberi pelbagai alasan untuk kedua-dua parti itu meninggalkan BN.

Malah katanya, kedua-dua parti itu tidak layak mempertikaikan jawatannya kerana dilantik oleh Presiden BN.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan menggesa semua pihak tidak bertindak melulu atau bersifat pukul rata susulan keputusan MCA dan MIC yang mempertimbangkan untuk meninggalkan BN.

Katanya, ini kerana hubungan dan kerjasama semua parti komponen yang membentuk BN tidak terbentuk sehari dua dan pelbagai rintangan serta cabaran diharungi bersama sejak sebelum kemerdekaan.

ARTIKEL BERKAITAN:

Tok Mat pesan jangan bertindak melulu

Jangan cakap banyak, keluar sahaja: Nazri

MIC, MCA pertimbang teroka pakatan baharu