X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 02 Julai 2022

MIC, MCA pertimbang teroka pakatan baharu

Tan Sri SA Vigneswaran dan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] MCA dan MIC mempertimbangkan untuk meninggalkan BN dan meninjau pakatan politik yang lain selepas asas kesepakatan dalam gabungan parti yang sudah berusia 46 tahun itu sudah tiada lagi.

Menerusi satu kenyataan bersama yang dikeluarkan, dua parti akan meneroka satu pakatan baharu selepas UMNO terus membisu berhubung kenyataan perkauman daripada parti itu, termasuk daripada Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

"Justeru, MCA dan MIC dibiarkan tanpa pilihan tetapi untuk meneruskan usaha meninjau pakatan baharu yang mengambarkan niat sebenar perpaduan dalam kepelbagaian,” kata kenyataan itu.

Kenyataan tersebut ditandatangani oleh Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran selepas mengadakan satu pertemuan antara pemimpin parti tersebut yang diadakan di sini.

Walaubagaimanapun kenyataan itu tidak menyebut secara langsung MCA dan MIC akan meninggalkan BN.

Kenyataan itu berkata, tindakan membisu UMNO terhadap kenyataan Nazri di PRK Semenyih itu semakin merosakkan hubungan parti komponen BN.

Katanya, apabila tiada rasa saling hormat-menghormati dan wujud pelanggaran perpaduan kepelbagaian dalam parti komponen BN, asas kepada gabungan itu telah dicabar dan terancam.

Dalam perkembangan sama, kenyataan itu juga menjelaskan, pada 2 Disember tahun lalu, Perhimpunan Agung Tahunan MCA memutuskan untuk membubarkan BN dan menjalin perikatan baharu.

"Oleh itu, kami menggesa Majlis Tertinggi BN mengadakan mesyuarat segera untuk menentukan nasib gabungan ini.

“Pelantikan Nazri sebagai Setiausaha Agung BN juga tidak sah dan tidak diiktiraf oleh MCA dan MIC,” kata kenyataan itu.

Semasa kempen PRK Semenyih, Nazri berkata bahawa kaum bukan Melayu tidak boleh mempersoalkan keistimewaan orang Melayu kerana turut menikmati keistimewaan seperti sekolah vernakular.

Nazri juga mempersoalkan pelantikan bukan Melayu sebagai Peguam Negara, Ketua Hakim Negara dan Menteri Kewangan, sambil menambah bahawa hak Melayu harus dipertahankan di semua peringkat.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan menegaskan kenyataan Nazri itu adalah pendirian peribadinya dan tidak mewakili UMNO serta BN.

Selepas menerima pelbagai kecaman, Nazri dalam sidang medianya menafikan bahawa beliau mahu menutup sekolah vernakular dan kenyataannya itu disalahtafsir sehingga segelintir pihak menyifatkannya memainkan sentimen perkauman.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun pula memaklumkan Nazri disiasat mengikut Akta Hasutan 1948 berhubung ucapan kontroversinya itu.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!