807 kemalangan libat pandu lawan arus sejak Januari

Faktor manusia merupakan penyumbang utama kepada berlakunya sesuatu nahas jalan raya.Wee Ka Siong (Gambar Kecil).
Faktor manusia merupakan penyumbang utama kepada berlakunya sesuatu nahas jalan raya.Wee Ka Siong (Gambar Kecil).
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sejumlah 807 kemalangan melibatkan kesalahan pemanduan kenderaan melawan arus direkodkan sejak Januari lalu.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 29 kes maut direkodkan dan 17 kes membabitkan kecederaan parah.

Beliau berkata, sebanyak 49 kes lagi di bawah kategori nahas jalan raya ringan dan 712 kes membabitkan kerosakan.

“Kajian mendapati faktor manusia merupakan penyumbang utama kepada berlakunya sesuatu nahas jalan raya terutama yang memandu melebihi had laju, memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah, pemanduan tidak fokus seperti menggunakan telefon bimbit dan aplikasi tunjuk arah, serta tidak mematuhi peraturan jalan raya.

“Faktor manusia ini pula boleh dikhususkan kepada dua penyebab iaitu aspek kompetensi melibatkan pengetahuan dan kemahiran memandu, dan sikap yang menjurus kepada perangai serta mentaliti pemandu itu.

“Dalam kes berkaitan yang memandu lawan arus ini, kebelakangan ini telah kerap dilaporkan berlakunya kes-kes sedemikian disebabkan oleh pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah. Perkara ini amat membimbangkan,” katanya ketika sesi pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian menjawab soalan daripada Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) berhubung statistik kemalangan melibatkan kesalahan pemanduan lawan arus, faktor penyumbang terhadap kemalangan dan langkah-langkah yang diambil untuk membendung kejadian tersebut.

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, Kementerian Pengangkutan sudah menguatkuasakan pindaan ke atas Akta Pengangkutan Jalan 1987 mulai 23 Oktober 2020.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pindaan ke atas hukuman sedia ada termasuk meningkatkan kadar denda serta tempoh penjara telah dilaksanakan khususnya berkaitan pemanduan di bawah pengaruh alkohol dan dadah.

“Pindaan hukuman ini merupakan satu bentuk pencegahan dan memupuk kesedaran dalam kalangan ramai supaya mereka mematuhi undang-undang. Apabila ia dilaksanakan, jalan raya di negara kita ini akan kekal selamat.

"Selain itu, nilai ambang melibatkan had kepekatan alkohol di dalam darah yang dibenarkan juga sudah dipinda.

“Kementerian Pengangkutan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) juga secara berterusan meneliti dan menilai semula aspek pembelajaran dan pengujian bagi mendapatkan lesen memandu ke arah memastikan kompetensi pemandu yang bakal dilahirkan berada pada tahap tertinggi," jelas beliau.