Ungka Tangan Putih lahir kembar dua, cipta sejarah di Asia

Ungka Tangan Putih lahirkan kembar di Zoo Melaka.
Ungka Tangan Putih lahirkan kembar di Zoo Melaka.
A
A
A

MELAKA - [DIKEMAS KINI] Zoo Melaka mencipta sejarah apabila seekor ungka spesies Tangan Putih yang lebih 10 tahun berada di zoo itu pertama kali melahirkan kembar dua minggu lalu.

Yang Dipertua Majlis Perbadaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Shadan Othman berkata, lebih menggembirakan apabila kelahiran itu dipercayai pertama di benua Asia.

Menurutnya, kembar yang lahirkan pada waktu pagi itu belum diberikan nama dan pihaknya bercadang mengadakan pertandingan memberikan nama haiwan itu setelah keadaan dua anak ungka itu yang masih menyusu badan sihat.

"Bukan haiwan ini sahaja malah sebelum ini Kambing Gurun yang semakin pupus juga telah melahirkan anak selain monyet Capuchin," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, pada Isnin.

Sementara itu Perunding Zoologi Zoo Melaka, Azman Ghazale berkata, kembar itu juga merupakan kelahiran ketiga oleh Ungka Tangan Putih yang manja dipanggil Sandy.

Menurutnya, Sandy diletakkan di pulau ungka dengan persekitaran semula jadi bersama spesies Ungka Tangan Hitam dan Siamang.

Azman memberitahu, kelahiran dan binatang yang bunting sebenarnya menunjukkan setiap binatang di zoo ini dijaga dan dipelihara dengan baik kerana binatang yang sihat mudah untuk membiak.

"Sekurang-kurangnya kelahiran ini dapat menepis segala tohmahan segelintir pihak bahawa kebajikan binatang dalam zoo ini terabai.

Artikel Berkaitan:

"Ketika Perintah Kawalan Pergerakan, (PKP) kakitangan zoo tetap bertugas dan bertungkus-lumus memberikan yang terbaik untuk semua binatang termasuk doktor haiwan yang datang memantau," katanya.

Mengulas lanjut, Azman berkata, setiap penjagaan haiwan dititikberatkan dan akan melakukan persiapan jika ada binatang yang sedang bunting bagi memudahkan membuat persediaan dan pemantauan rapi.

"Walaupun kembar itu telah lahir sejak beberapa minggu lalu namun kita sentiasa pantau dari jauh dan melihat ibunya menyusukan anak dengan baik," katanya.

Azman turut memaklumkan satu lagi berita gembira iaitu seekor singa putih di zoo itu juga bakal melahirkan anak tidak lama lagi," katanya.