X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 28 Oktober 2021

Piala Sudirman: Mentaliti final lawan England

Roslin
A
A

PEMAIN badminton negara perlu tampil menentang England dengan mentaliti perlawanan akhir apabila menyingkap tirai saingan Kumpulan D Piala Sudirman di Vantaa, Finland pada Isnin ini.

Bekas jaguh perseorangan negara, Roslin Hashim berkata, aksi menentang England ibarat perlawanan hidup mati skuad negara kerana lawan merupakan ancaman utama dalam misi melayakan diri ke pentas suku akhir.

"Saya percaya skuad England akan menurunkan barisan pemain terkuat dan berpengalaman seperti Ben Lane-Sean Vendy, Chloe Birch-Lauren Smith dan Marcus Ellis-Lauren Smith pada perlawanan awal ini yang akan menentukan hala tuju mereka dalam kejuaraan ini.

"Sama seperti Malaysia, England sudah tentu tidak mahu memilih jalan sukar sekiranya tewas kepada Malaysia kerana mereka perlu menang ke atas pasukan pilihan Jepun.

"Jadi adalah penting dalam kalangan pemain negara untuk memberikan sepenuh tumpuan kepada perlawanan hidup mati ini, paling penting bekerjasama antara satu sama lain kerana ini merupakan team event," katanya kepada Sukan Sinar.

Pada saingan Piala Sudirman edisi Vantaa, Finland yang bermula 26 September hingga 3 Oktober depan, skuad negara diundi dalam Kumpulan D bersama Jepun, England dan Mesir menyasarkan pentas suku akhir.

Skuad negara dijadualkan menentang England pada perlawanan pertama diikuti Mesir pada Selasa sebelum melabuh tirai peringkat kumpulan menentang Jepun pada Khamis.

Sandaran negara dengan misi suku akhir pada kejuaraan kali ini digalas Lee Zii Jia, S. Kosina, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Pearly Tan-M Thinaah, Hoo Pang Ron-Cheah Yee See dan Chen Tang Jie-Peck Yen Wei.

Jelas Roslin, dia percaya barisan muda negara tetap mampu menyaingi England walaupun kurang pengalaman aksi kompetetif dibandingkan dengan lawan.

"Perlawanan pertama skuad negara pun sebenarnya sudah merupakan cabaran besar kepada Lee Zii Jia yang mengetuai barisan muda negara.

"Seandainnya kita menang ia merupakan satu kemenangan moral kerana kita tidak perlu memilih laluan sukar berdepan lawan seterusnya.

"Mesir lawan kedua kita boleh hadapi, namun tetap kena waspada dan seboleh-bolehnya elak berdepan Jepun yang juga pasukan pilihan dalam keadaan tertekan pada perlawanan akhir kumpulan," ujarnya.

Sementara itu, Roslin turut menasihati pemain-pemain muda negara yang pertama kali mendapat beraksi di pentas kejuaraan Piala Sudirman ini, manfaatkan peluang ini untuk tidak hanya meraih pengalaman tetapi juga buktikan kemampuan sebenar masing-masing.

"Apabila Persatuan Badminton Malaysia (BAM) panggil seseorang pemain itu untuk mewakili negara terutama kejuaraan Piala Sudirman ini, bermakna anda merupakan yang terbaik walaupun masih junior dan kurang pengalaman di pentas antarabangsa.

"Jadi gunakan peluang ini untuk meraih kepercayaan jurulatih di sepanjang kejohanan tersebut untuk diturunkan dalam setiap perlawanan, seboleh-bolehnya biar dalam diri setiap pemain-pemain muda negara ada keinginan dan keazaman untuk dipilih bermain dalam setiap perlawanan.

"Sekiranya setiap pemain-pemain muda memiliki mentaliti berdaya saing tinggi untuk merebut tempat dalam pasukan, mereka berpeluang cerah untuk maju dalam karier badminton mereka," katanya.

JADUAL

Piala Sudirman

Kumpulan D

ISNIN

Malaysia lawan England (3 ptg)

SELASA

Malaysia lawan Mesir (8 mlm)

KHAMIS

Malaysia lawan Jepun ( 8 mlm)

Nota: Hari, masa tertakluk pindaan


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!