X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 18 Oktober 2021

Dulu 'pengurus' kini pengusaha cili, pemuda raih pendapatan lima angka

Mohd Saifullah menunjukkan lada burung atau dikenali sebagai cili padi kampung yang ditanam ketika ditemui pemberita di kebun sayur miliknya di Kampung Chuchoh Puteri di sini. - Foto Bernama
A
A

BEKAS pengurus kedai telekomunikasi yang hilang pekerjaan pada Mac tahun lepas akibat pandemik Covid-19, kini adalah seorang petani berjaya yang meraih pendapatan lima angka sebulan.

Mohd Saifullah Che Mat, 28, yang juga merupakan siswazah Universiti Malaysia Sabah (UMS), berkata beliau terpaksa melupakan kerjaya sebagai pengurus, berikutan kedai telekomunikasi tidak dapat beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Enggan terus bersedih, pemuda itu secara semborono ‘terjun’ ke dalam bidang pertanian dengan menanam sebanyak 800 pokok lada solok di atas tanah milik bapanya Che Mat Hussin, 72, bermodalkan RM4,000.

“Benarlah seperti pepatah ‘malu bertanya sesat jalan, malu mengayuh perahu hanyut’ terkena pada dir saya apabila mengalami kerugian dalam percubaan pertama dengan kesemua tanaman lada solok rosak kerana saya tidak mempunyai ilmu dalam bidang pertanian.

“Bagaimanapun, ia tidak mematahkan semangat atau menyebabkan saya putus asa, dan seterusnya mengambil inisiatif berguru dengan kenalan yang mahir dalam bidang ini, selain turut belajar melalui YouTube,” kata Mohd Saifullah ketika ditemui pemberita di kebun sayurnya di Kampung Chuchoh Puteri, di sini pada Ahad.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial Komunikasi itu berkata, selepas gagal kali pertama beliau mencuba pula menaman sebanyak 1,200 pokok terung secara konvensional.

Katanya, dalam tempoh seminggu sahaja kira-kira 300 kilogram (kg) terung dapat dituai sehari dengan hasil jualan mencecah RM800.

“Melihat pada hasil tanaman terung yang memberangsangkan, selain ia turut memberi pulangan lumayan, saya mula mengusahakan 1,000 pokok lada burung secara fertigasi menggunakan geran sebanyak RM10,000 yang diperoleh daripada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).

“Menerusi percubaan tanaman lada burung atau dikenali sebagai cili padi kampung itu, saya mula mencipta kelainan dengan menggunakan kaedah fertigasi, kerana kaedah ini dikatakan lebih mudah untuk diurus, selain ia turut menjimatkan kos sekali gus dapat mengurangkan risiko diserang serangga perosak,” jelas anak bongsu daripada lima beradik itu.

Mohd Saifullah menarik nafas lega apabila usaha jerih-perihnya akhirnya membuahkan hasil, apabila tanaman itu menjana 70 hingga 100 kg lada burung.

Katanya, lada burung itu dijual kepada peraih di sekitar daerah ini dengan harga RM12 hingga RM15 sekilogram, mengikut harga pasaran semasa.

Tanaman lada burung itu juga, menurutnya, mampu memberi pulangan dalam tempoh yang singkat iaitu hanya sekitar 45 hari dan mempunyai jangka hayat yang agak lama bagi tanaman sayur iaitu setahun.

“Hasil tanaman saya ini turut mendapat permintaan di luar Kelantan seperti Johor, Selangor, Perak dan Kuala Lumpur, serta saya memasarkan secara dalam talian supaya dapat mengelakkan berlakunya lambakan,” kata Mohd Saifullah yang meraih pendapatan hingga RM10,000 sebulan.

Justeru, beliau menasihati individu yang hilang punca pendapatan disebabkan pandemik Covid-19 atau sukar mencari pekerjaan, agar mencuba nasib di dalam bidang pertanian yang berpotensi memberi keuntungan lumayan. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!