Khazanah belum terima tawaran beli pegangan Legoland

Shahril Ridza Ridzuan
Shahril Ridza Ridzuan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Khazanah Nasional Bhd masih belum menerima sebarang tawaran daripada pembeli prospektif untuk membeli pegangannya dalam Legoland Malaysia, taman tema yang dimilikinya di Johor.

Pengarah Urusan Khazanah Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata setakat hari ini dana nasional itu belum berunding dengan mana-mana pihak.

"Buat masa ini kami belum lagi berbincang dengan sesiapa.

"Bagaimanapun, apabila kami menyemak semula aset kami, kami perlu memastikan yang kami menyedari sepenuhnya nilai-nilai yang terdapat pada aset-aset,” kata Shahril kepada pemberita.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai laporan berita bahawa dana nasional itu sedang menimbang menjual pegangannya dalam Legoland Malaysia.

Terdahulu, beliau membentangkan Kajian Semula Tahunan Khazanah 2019, di sini, hari ini.

Beliau juga berkata Legoland Malaysia mencapai kejayaan besar dengan pendapatan sebelum faedah, cukai, pelunasan dan susut nilai yang tinggi dan pendapatan yang positif.

Memetik sumber, laporan berita itu menyatakan bahawa taman tema tersebut dijangka bernilai kira-kira RM1 bilion, termasuk hutang.

Artikel Berkaitan:

Legoland Malaysia terletak di Nusajaya, Johor, dan dimiliki oleh unit Khazanah.

Taman tema itu yang merupakan taman bertemakan Lego pertama di Asia, diuruskan oleh Merlin Entertainments Plc, merangkumi kawasan seluas bersamaan 50 padang bola dengan lebih 15,000 model Lego dibuat daripada lebih 60 juta lego. - Bernama