RMK12, Belanjawan 2022 tumpu pemulihan ekonomi: Muhyiddin

Muhyiddin (tengah) dan Sahruddin (kiri) mengadakan lawatan ziarah penduduk dan peniaga di Taman Pagoh Jaya, Pagoh, Muar pada Sabtu.
Muhyiddin (tengah) dan Sahruddin (kiri) mengadakan lawatan ziarah penduduk dan peniaga di Taman Pagoh Jaya, Pagoh, Muar pada Sabtu.
A
A
A

MUAR - Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dan Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan memberi fokus utama terhadap pemulihan ekonomi rakyat yang terkesan akibat Covid-19.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perancangan RMK12 dan Belanjawan 2022 sudah disiapkan semasa beliau menjadi Perdana Menteri dan akan diteruskan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Kita sudah buat persiapan dan kini ia disambung di bawah pimpinan Perdana Menteri kesembilan (Ismail Sabri). Perancangan itu disiapkan oleh EPU (Unit Perancangan Ekonomi) untuk tempoh lima tahun.

"Tahun pertama sudah bermula dan negara akan berdepan dengan situasi yang amat mencabar dalam tempoh empat tahun akan datang baik daripada segi kedudukan kewangan kerajaan serta peruntukan untuk pembangunan termasuklah di Sabah dan Sarawak," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ziarah penduduk dan peniaga di Taman Pagoh Jaya, Pagoh di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong yang juga bekas Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Sempena lawatan itu, Muhyiddin turut menyampaikan bantuan bakul makanan dan keperluan asas kepada penduduk yang menghidap penyakit kronik.

Muhyiddin berkata, apabila RMK12 dan Belanjawan 2022 dibentangkan nanti, pandangan pelbagai pihak akan diambil kira.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau juga yakin pelbagai langkah dan usaha tambahan akan dilaksanakan kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara dalam situasi pandemik Covid-19 ketika ini.

Katanya, pastinya peranan MPN menjadi penting agar usaha-usaha pemulihan ekonomi negara dapat direalisasikan.

Ismail Sabri akan membentang RMK12 di Dewan Rakyat pada Isnin ini, manakala Belanjawan 2022 akan dibentang pada hujung Oktober.