X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 18 Oktober 2021

Saya akan tanding lawan Peja: Farhash

Farhash Wafa Salvador (dua kanan) menyampaikan ucapan pada Program Jelajah Peduli yang turut dihadiri Tinagaran (kanan) di perkarangan Pejabat PKR Perak, di sini pada Sabtu.
A
A

IPOH - Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak mengesahkan akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun menurut beliau, antara kawasan yang dipertimbangkan ialah dalam Parlimen Kuala Kangsar.

Beliau turut menyatakan hasrat untuk bertanding di kawasan yang ditandingi oleh nama-nama besar termasuk Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang juga Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

"Sebagai pengerusi negeri saya telah berbincang dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beliau mencadangkan dua, tiga tempat untuk bertanding tetapi masih terlalu awal untuk membuat keputusan. Kami masih perlu berbincang dengan komponen parti.

"Ada cadangan untuk berlawan dengan Peja (Ahmad Faizal) di salah satu kawasan DUN yang kalau dia pergi DUN kita lawanlah. Saya akan lawan calon heavyweight (nama besar). Yang mana ada heavyweight kita akan pergi kecuali Bagan Datuk itu terlalu heavyweight," katanya kepada pemberita selepas hadir ke Program Jelajah Peduli di perkarangan Pejabat PKR Perak, di sini pada Sabtu.

Menurutnya, gerak kerja untuk pilihan raya telah bermula dan dalam masa terdekat mungkin calon pilihan raya ini akan diketahui namun kebiasaannya PKR akan mengumumkan calon pada saat akhir.

Mengenai beliau disebut sebagai calon Menteri Besar Perak, Farhash Wafa Salvador berkata, perkara itu bukan isu penting sebaliknya gerak kerja menawan Perak menjadi keutamaan.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi PKR Perak, Datuk MA Tinagaran berkata, PKR Perak memang menamakan Farhash Wafa Salvador sebagai calon Menteri Besar Perak sekiranya Pakatan Harapan (PH) berjaya menguasai negeri ini pada PRU15 nanti.

Menurutnya, penambahan kerusi baharu yang ditinggalkan oleh Bersatu sebelum ini menjadikan PKR mempunyai kerusi lebih banyak berbanding rakan komponen lain.

"Jika kita meletakkan calon yang betul, kemungkinan untuk kita menang nanti amat cerah. Kami percaya rakyat akan memberi peluang kepada kita.

"Kita akan menonjolkan bakat baharu dan Farhash orang yang sesuai untuk ditawarkan mengetuai negeri ini," katanya.

Menurut Tinagaran, kepimpinan Farhash Wafa Salvador dalam PKR Perak berjaya menarik ramai keahlian golongan muda menyertai parti itu.

Katanya, sejak menerajui pimpinan negeri, PKR Perak mempunyai pertambahan keahlian melebihi 85,000 manakala lebih 600 ranting PKR berjaya ditubuhkan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!