X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 18 Oktober 2021

PDRM saran syarat khas baharui lesen memandu warga emas

Azisman Alias
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyarankan agar kerajaan memperkenalkan syarat khas buat warga emas sebelum mereka dibenarkan untuk memperbaharui lesen memandu.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, langkah tersebut perlu diambil untuk menjaga keselamatan golongan itu termasuk pengguna jalan raya yang lain.

"Kita lihat kes-kes memandu melawan arus sudah menjadi seperti satu trend pula yang mana ada juga kes melibatkan orang tua berusia 60 dan 70 tahun ke atas.

"Warga emas yang berusia 70 tahun ke atas ini ada yang mempunyai penyakit mudah lupa atau nyanyuk dan kebanyakan kes lawan arus melibatkan golongan ini disebabkan salah masuk jalan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini pada Jumaat.

Azisman berkata, sepatutnya golongan warga emas hanya dibenarkan memperbaharui lesen dengan syarat mempunyai pengesahan daripada doktor yang menyatakan individu berkenaan mampu untuk memandu dari segi mental dan fizikal.

Tambahnya, tempoh pembaharuan lesen buat warga emas juga seharusnya dihadkan untuk jangka masa yang pendek supaya pihak berkenaan dapat membuat penilaian terhadap kemampuan golongan tersebut untuk berada di jalan raya.

"Mereka boleh memperbaharui lesen sehingga lima tahun. Kalau perbaharui lesen umur 70 tahun sampai umur 75 tahun mereka boleh memandu tanpa perlu sebarang pemeriksaan.

"Sepatunya golongan ini perlu buat seperti lesen senjata api contohnya, yang hanya diberi untuk tempoh setahun dengan syarat-syarat tertentu sahaja," katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa agar kerajaan dan agensi yang berkaitan supaya memandang serius perkara tersebut untuk mengelak kejadian kemalangan maut.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!