Hina Islam, Nabi: Tiga lagi ditahan, seorang diburu

Mohamad Fuzi Harun
Mohamad Fuzi Harun
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiga individu ditahan manakala seorang lagi diburu polis berhubung penghinaan ke atas agama Islam dan Nabi Muhammad SAW.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, tangkapan pertama dilakukan terhadap seorang lelaki berusia 29 tahun di Labuan, Ahad lalu.

“Pemilik akaun Facebook bernama Bakakuk membuat komen jelik terhadap agama Islam dan Nabi Muhammad. Suspek ditahan reman hingga Khamis ini dan polis menerima 15 laporan polis terhadap tindakannya itu,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Hina Nabi: Seorang lagi ‘parasit’ perlu dihukum

Beliau berkata, tangkapan kedua dilakukan terhadap pemilik akaun Facebook, Ayea Yea yang membuat komen serupa.

Katanya, lelaki yang berusia 22 tahun itu ditahan di Bau, Sarawak semalam dan direman sehingga Khamis ini.

Mohamad Fuzi berkata, tangkapan ketiga pula dibuat terhadap pemilik akaun Facebook, Yazid Kong yang membuat komen jelik terhadap agama Islam.

“Suspek lelaki berusia 52 tahun itu ditahan di Petaling Jaya semalam dan kini ditahan reman,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, seorang lagi lelaki yang menggunakan akaun Twitter, @alvinchow333 sedang diburu berhubung ciapan jelik terhadap Nabi Muhammad SAW.

“Suspek dikenal pasti berusia 43 tahun dan dipercayai berada di Kuala Lumpur. Usaha memburu sedang dijalankan,” katanya.

Semua kes disiasat mengikut Kanun Keseksaan serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Dalam pada itu, Mohamad Fuzi berkata, polis menerima 929 laporan dari seluruh negara berhubung kesalahan berkenaan dan sehingga hari ini, 16 kertas siasatan dibuka.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai agar tidak menyalahgunakan media sosial atau sebarang rangkaian komunikasi dengan memuat naik atau berkongsi sebarang bentuk provokasi yang boleh menyentuh sensitiviti agama dan perkauman.

Katanya, polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang tidak mengendahkan perkara ini.

“Tindakan mencabar, menghina kepercayaan atau agama mana-mana kaum, boleh membangkitkan ketegangan kaum dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini dan perlu dihentikan serta-merta,” katanya.

Sebelum ini, seorang warga emas hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan memuat naik menghina karikatur yang dikatakan Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda, Saidatina Aisyah di laman Facebook, baru-baru ini.

Tertuduh Wai Foo Sing, 68, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, M.M Edwin Paramjothy.