PGA rampas rokok, minuman keras lebih RM2 juta

Mohd Noh (dua dari kiri) menunjukkan lori yang dikesan menyimpan barang seludup.
Mohd Noh (dua dari kiri) menunjukkan lori yang dikesan menyimpan barang seludup.
A
A
A

TAPAH - Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara berjaya merampas pelbagai jenis minuman keras dan rokok seludup yang dianggarkan bernilai lebih RM2.15 juta di sini pada Khamis.

Operasi Ops Kontraban yang bermula pada jam 2 pagi itu hasil maklumat awam dan risikan yang dijalankan Cawangan Risik Briged Utara sejak sebulan lalu di sebuah stor di sini.

Timbalan Komander Briged Utara, Asisten Komisioner Mohd Noh Khamis berkata, pasukannya berjaya menemukan 4,105 karton rokok, 38,628 tin dan 3,421 botol minuman keras.

Menurutnya, dua lelaki warga tempatan berusia 51 dan 59 tahun turut ditahan dalam serbuan tersebut untuk siasatan lanjut.

"Pemeriksaan mendapati kesemua barangan rampasan yang disimpan stor berkenaan dan sebahagiannya dalam sebuah lori serta trak pikap dengan nilai keseluruhan RM2,026,481.86.

"Modus operandi mendapati suspek mengedar barang terbabit dengan menaiki lori perniagaan barang perkakasan bagi mengaburi pihak berkuasa," katanya dalam sidang akhbar Ops Kontraban Briged Utara di Batalion 3 PGA Bidor pada Khamis.

Mengulas lanjut, Mohd Noh berkata, siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek aktif sejak enam bulan lalu dengan mengedar di seluruh negeri ini dan Cameron Highlands, Pahang.

"Suspek dipercayai mengambil barangan tersebut di kawasan Lembah Klang, Selangor untuk diedar ke kawasan kampung orang asli dan juga kedai runcit berhampiran di Bidor, Kampar, Tapah, Teluk Intan dan Cameron Highlands.

Artikel Berkaitan:

"Semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dalam jenayah.

"Tangkapan dan rampasan di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam1967 serta Sek 20(1) dan Sek 74(1) Akta Eksais 1976," jelasnya.

Beliau turut menasihatkan orang awam agar menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti kesalahan di bawah Ops Kontraban dengan menghubungi talian 05-5406666 (Cawangan Risik dan Gerakan, Briged Utara) berserta dengan maklumat lengkap dan identiti mereka akan dirahsiakan.