Nik Nazmi akui NACP semakin tenggelam

Nik Nazmi
Nik Nazmi
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad mengakui Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) semakin tenggelam selepas berlakunya perubahan kerajaan tahun lepas.

Ujarnya, ahli politik sebagai wakil rakyat dan pemimpin bertanggungjawab membawa perubahan kepada negara termasuk dalam mewujudkan NACP.

“Memang betul kita tidak memasukkan NACP dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik.

“Tetapi bagi saya, ada beberapa langkah ke arah itu dan masih menjadi tugas kami sebagai wakil rakyat untuk meyakinkan rakyat bahawa agenda ini masih penting dan membawa kami ke pilihan raya yang akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa program Kompas Rasuah Busters bertajuk ‘Terlaksanakah Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP)’ yang disiarkan di semua platform digital Sinar Harian pada Rabu.

Turut menjadi panelis ialah Pengasas dan Pengarah Eksekutif Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi, Cynthia Gabriel dan Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye manakala Nurhayati Nordin bertindak sebagai moderator.

Mengulas lanjut Nik Nazmi berkata, gesaan daripada pelbagai pihak termasuk rakyat memainkan peranan penting dalam mengetengahkan agenda mewujudkan NACP.

Menurutnya, gesaan tersebut dapat memberi tekanan kepada pimpinan kerajaan untuk mengambil serius mengenai perkara berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Jadi ini yang kita kena tekankan kepada ahli politik yang sedar tentang perkara ini. Mereka perlu terus membawa agenda ini dan saya ucapkan penghargaan kepada Sinar Rasuah Busters kerana melalui kempen sebegini, isu ini dapat terus ditekankan dan ada tekanan daripada rakyat.

“Memang betul kami sebagai pemimpin, ada tanggungjawab untuk membawa perubahan daripada atas tetapi tanpa ada tekanan daripada rakyat mungkin pemimpin tidak akan melaksanakan perkara tersebut.

“Jadi ‘it goes hand-in-hand’ bergandingan antara pihak pemimpin, aktivis masyarakat dan juga pengundi,” menurutnya.