Maqis rampas makanan haiwan dari Thailand

Pegawai Maqis melakukan pemeriksaan di gudang DAD pada Selasa.
Pegawai Maqis melakukan pemeriksaan di gudang DAD pada Selasa.
A
A
A

BUTTERWORTH - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk pelbagai jenis makanan haiwan dari Thailand tanpa permit import di Gudang Zon Bebas Dermaga Air Dalam (DAD), di sini pada Selasa.

Pengarahnya, Muhammad Ikram Abd Talib berkata, pemeriksaan yang dilakukan di gudang pemeriksaan menemukan makanan haiwan seberat 2,700.20 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM85,656.48.

Menurutnya, barang dagangan itu telah ditahan untuk tindakan lanjut kerana dibawa masuk tanpa dokumen yang sah seperti permit import.

"Hasil siasatan mendapati kesemua dagangan tersebut bertujuan untuk dibawa masuk ke pasaran Malaysia.

"Perbuatan mengimport keluaran pertanian dan haiwan tanpa permit yang sah adalah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta yang sama," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Muhammad Ikram berkata, jika sabit kesalahan, individu boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan sehingga enam tahun atau kedua-duanya sekali.

Katanya, Maqis akan terus komited dalam menjalankan penguatkuasaan di pintu masuk negara bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara.

Artikel Berkaitan: